Home Politik MIC bantu kempen Isa Samad di PD

MIC bantu kempen Isa Samad di PD

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 2 Okt – Calon Bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad mendakwa beliau menerima bantuan dan sokongan daripada MIC dalam berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata terdapat beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu turun berkempen khususnya dalam mendekati pengundi kaum India di kawasan Parlimen tersebut.

“Ada kawan-kawan dalam kalangan pemimpin MIC di Port Dickson turun membantu saya mendekati pengundi India di sini,” katanya pada sidang media di Kampung Bagan Pinang, semalam.

Kawasan PRK Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pemilih berdaftar dengan 21.41% terdiri daripada kaum India, Melayu (42.35%), Cina (33.81%) dan 2.43% terdiri daripada lain-lain kaum.

PRK itu pada 13 Okt ini akan menyaksikan pertandingan 7 penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), PAS dan 5 calon Bebas.

PH diwakili Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 71, manakala calon PAS ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazri Mokhtar, 57.

Sementara 2 calon bebas terdiri daripada Isa, 69 dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 33.

Tiga lagi calon Bebas lain ialah Stevie Chan Keng Leong, 51, Lau Seck Yen, 51, dan Kan Chee Yuen, 45.

PRK itu diadakan berikutan penyandang kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Pada PRU14, 9 Mei lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi menewaskan calon BN dan PAS.

Pada 24 Sept lalu, BN sebulat suara memboikot PRK itu dengan tidak meletakkan calon kerana menyifatkan pertandingan berkenaan semata-mata memenuhi cita-cita politik individu dan cara pengosongan kerusi itu tidak demokratik.

Related Articles

Leave a Reply