Home PolitikPakatan Harapan PH ada kelebihan jika UMNO, PAS gabung – Rafizi

PH ada kelebihan jika UMNO, PAS gabung – Rafizi

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU,9 Sept – Hubungan rapat Umno dan Pas dijangka akan berterusan dan mungkin akan ada kerjasama rasmi antara kedua-dua parti itu sekiranya ia berlaku.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, situasi itu akan menyebabkan satu peralihan undi secara automatik ke arah PH, terutamanya dalam kalangan ahli Umno yang kurang selesa dengan Pas, begitu juga sebaliknya.

Secara tidak langsung katanya, ia akan mengubah pola politik negara, terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

“Di Pantai Timur khususnya di Terengganu dan Kelantan, keadaannya agak berbeza kerana pengundi bukan Melayu tidak ramai, tetapi dinamiknya (kerjasama) antara Pas dan Umno akan turut mempengaruhi pengundi atas pagar.

“Perkembangan politik ini akan membuka ruang yang baharu yang boleh memberi kelebihan kepada PH. Bila keadaan itu baharu, sudah tentu akan ada peralihan dan perubahan pemikiran pengundi.

“Kita kena mula kaji dan ikuti dengan dekat, ‘baca’ pengundi ke arah mana. Saya yakin, akan ada peningkatan (undi) tapi sama ada peningkatan itu akan jadi ‘bah besar’ terlalu awal, tetapi setiap kali ada peralihan pola itu, ia sebenarnya bagi peluang kepada mana-mana parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program #Reformasi 20 Tahun PKR bertempat di Hotel Felda Residence, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagaimana PRU14 yang lepas apabila ada perpecahan dan Pas keluar daripada Pakatan Rakyat, ia menjadi tiga penjuru dan situasi itu memenangkan PH.

Rafizi berkata, bibit kerjasama itu jelas apabila Umno dan Pas bereksperimen dalam tiga pilihanraya kecil kali ini, malah Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan akan hadir pada Muktamar Pas yang akan berlangsung nanti.

“Sekarang ini mereka rasakan kalau boleh gabungkan undi Melayu untuk Umno dan Pas dalam seberapa banyak kerusi, mereka boleh kalahkan PH kerana merasakan masih mendapat sokongan Melayu.

“Tapi, saya tidak merasakan ia sedemikian. Bila Pas dan Umno bersama, ia tidak bermakna 1 campur 1, akan menjadi 2. Tapi kita kena lihat secara keseluruhannya dan melihat ahli mereka sebenarnya boleh terima atau tidak.

“Sebab itu PRU akan datang, kita tidak boleh jangka ia sama dengan PRU14 yang lepas,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply