Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Eksesais KAKADU 2018 kumpul 19 angkatan laut, tentera udara

Eksesais KAKADU 2018 kumpul 19 angkatan laut, tentera udara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR – Eksesais KAKADU Siri ke-14 bermula 30 Ogos ini hingga 16 September depan di rantau Asia membabitkan lebih 3,000 kakitangan merangkumi 19 angkatan laut dan tentera udara dari Asia Pasifik dan India.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diwakili Kapal Diraja (KD) Kasturi akan menghantar seramai 18 pegawai dan 138 anggota bagi menyertai eksesais berkenaan.

Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut, dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan eksesais anjuran Tentera Laut Diraja Australia itu akan dibahagikan kepada tiga fasa iaitu pelabuhan, perang dan penutup.

Katanya, fasa pelabuhan yang akan berlangsung pada 31 Ogos hingga 4 September depan akan menumpukan kepada program seperti majlis pembukaan, taklimat, resepsi kapal dan forum.

“Seterusnya, fasa perang dilaksanakan pada 6 hingga 13 September untuk perancangan dan simulasi, akhir fasa itu juga adalah kemuncak eksesais di mana kemampuan kapal dan pesawat udara akan diuji.

“Fasa penutup akan dilaksanakan pada 13 dan 14 September, dengan pengisian majlis penutup dan taklimat.

“KD Kasturi juga dijangka belayar pulang pada 16 September dan dijangka tiba di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih Johor pada 24 September ini,” katanya.

Mengenai tujuan eksais itu, katanya, ia antara lain bagi memperkukuh diplomasi ketenteraan bertaraf antarabangsa.

“Ia juga bagi membangunkan kerjasama operasi antara negara serantau termasuk di kawasan maritim dan udara.

“Selain itu, ia turut menyediakan peluang bagi pemantapan latihan keselamatan dan pengawasan maritim secara bersama.

“Setiap negara terbabit juga mampu meningkatkan keupayaan dan kemahiran taktikal masing-masing,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply