SHAH ALAM, 16 Ogos – “Adik (arwah) sempat bertanyakan siapa yang mahu menghantarnya ke tuisyen dan saya memberitahu supaya pergi mandi terlebih dulu. Tak lama kemudian, seseorang mengetuk pintu rumah dan memaklumkan adik terjatuh ke bawah kuarters,” kata Abdul Rahman Sallehuddin, 51.
Semalam, anaknya, Mohd Badrul Amin, 11, maut selepas terjatuh dari balkoni belakang tingkat lima kediamannya di kuarters Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang itu, anak bongsu daripada enam beradik itu dipercayai terjatuh ketika mahu mengambil pakaian di ampaian rumahnya, namun dawai berkenaan terputus.
Abdul Rahman berkata, arwah yang dipanggil adik itu baru saja pulang bermain bersama rakannya sebelum memasuki rumah dan mahu bersiap pergi ke tuisyen di sekolahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) TUDM.
“Adik kemudian pergi ke belakang rumah, namun saya tidak pasti apa dilakukannya. Dia mungkin mahu mengambil tualanya.
“Selepas dimaklumkan adik terjatuh, saya segera berlari turun dan melihat dia sudah tidak bergerak dan mulutnya berdarah. Saya tidak dibenarkan memegang arwah sehingga dia dibawa menaiki ambulans,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Shah Alam (HSA) di sini, hari ini.
Abdul Rahman yang juga pemandu lori berkata, kejadian berlaku ketika dia baru pulang ke rumahnya pagi kelmarin selepas menyelesaikan urusan kerja di Terengganu.
“Isteri saya bekerja sebagai tukang masak di TUDM dan sudah 23 tahun tinggal di kuarters ini. Kebiasaannya, saya memang satu atau dua hari tidak pulang ke rumah kerana keluar memandu lori,” katanya.
Abdul Rahman berkata, arwah disifatkan anak yang rajin, berdisiplin dan pandai berdikari.
“Tiada sebarang perubahan dirinya dan dia pergi tuisyen di sekolahnya sebagai persiapan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.
“Kejadian berlaku agak pantas dan kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Allahyarham Mohd Badrul Amin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Subang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya.