Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu bukan sahaja melibatkan pucuk pimpinan Pas melalui Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin tetapi di semua peringkat termasuk Parlimen Kota Raja dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Sungai Kandis.

Katanya, kerjasama itu telah diperjelaskan melalui kenyataan akhbar oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada hari ini.

“Kita berharap iltizam yang tinggi ini dapat diterjemahkan dengan sokongan dan undi kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam.

“Komitmen jentera BN dan Pas amat tinggi dan yakin akan diperhebatkan dalam tempoh 72 jam sebelum hari mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat PDM Jalan Kebun di sini malam semalam.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi BN memberitahu, jalinan kerjasama ini berdasarkan status kesepakatan kedua-dua parti pembangkang terhadap janji-janji Pakatan Harapan yang belum dilaksanakan oleh mereka.

Jelas beliau, situasi ini merupakan pemulaan baik yang akan membuka lebih ruang dan peluang kerjasama pada masa hadapan.

“Tapak UMNO dan Pas sama apabila diasa sehingga ke dinding namun atas faktor kesaksamaan ini ada hikmah turun kepada kita.

“Kita tahu ada perkara perlembagaan (diperjuangkan) sehingga ada menyatakan kita seolah-olah rasis dan satu bentuk keganasan. Namun ingin ditegaskan kita mahu perlembagaan dihormati,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Zahid menegaskan reaksi pengundi di DUN Sungai Kandis amat positif kerana mereka memperlihatkan kekecewaan terhadap pemerintahan Pakatan Harapan.