Home Semasa Kerajaan jamin lindungi pelapor rasuah – Tun M

Kerajaan jamin lindungi pelapor rasuah – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 20 Jul –  Kerajaan memberi jaminan kepada komuniti perniagaan di negara ini bahawa kerajaan akan melindungi mereka yang berdepan tindakan balas dendam kerana melaporkan kegiatan rasuah kepada kerajaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata komuniti perniagaan boleh melaporkan kepada kerajaan jika berlaku rasuah.

“Saya tahu sesetengah ahli perniagaan bimbang, jika mereka mendedahkan orang buat rasuah, akan berlaku tindakan balas dendam terhadap orang yang melaporkan itu.

“Dalam kes ini, jika anda memberitahu kami rasuah wujud, kami akan melindungi anda daripada sebarang tindakan balas dendam,” katanya pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) ke-72, di sini, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan menghidupkan semula konsep Malaysia Incorporated (Malaysia Inc).

Beliau berkata, Malaysia akan dianggap sebagai satu perbadanan yang besar, dengan kerajaan dan sektor swaasta berusaha bagi memastikan kejayaan kerjasama itu.

Dr Mahathir juga memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya sangat mesra perniagaan dan terbuka kepada pelaburan langsung asing (FDI).

Beliau berkata, kerajaan semasa tidak pernah menolak FDI dan mengakui sumbangan FDI dalam pembangunan negara.

Katanya, FDI sangat penting untuk pembangunan negara, justeru kerajaan mahukan  pelabur asing yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan teknologi baharu untuk mendirikan kilang di negara ini dan menggaji rakyat tempatan.

“Kerajaan terus mengalu-alukan kehadiran pelabur asing dan tempatan. Kerajaan baharu akan sangat mesra perniagaan dan tidak rasuah,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply