Home PolitikBarisan Nasional Musa Aman jalani rawatan perubatan, nafi keluar negara – peguam

Musa Aman jalani rawatan perubatan, nafi keluar negara – peguam

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Bekas ketua menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman kini sedang mendapatkan rawatan perubatan dan tidak melakukan perjalanan ke luar negara secara haram.

Bagaimanapun, peguamnya Zahir Shah berkata Musa dinasihatkan oleh doktor peribadi untuk mendapatkan rawatan penyakitnya, yang telah lama tertangguh tanpa menyebut sakit Musa dan tempat beliau sedang menerima rawatan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Tan Sri Musa ingin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah melakukan perjalanan secara haram dan ingin menyatakan perjalanannya sentiasa melalui saluran imigresen yang sah.

“Beliau (Musa) mengulangi bahawa beliau sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama penuh dan akan terus berbuat demikian dalam membantu pihak berkuasa sekiranya ia dilaksanakan dengan adil dan bersungguh-sungguh mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Peguam itu membuat kenyataan tersebut susulan amaran Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali kepada Musa hari ini bahawa tindakan akan diambil jika pengerusi Barisan Nasional Sabah itu meninggalkan negara secara menyalahi undang-undang.

Zahir dipetik Bernama sebagai berkata Musa akan kembali ke Sabah sebaik sahaja rawatan perubatannya selesai dan doktor beliau berpuas hati dengan keadaan kesihatannya secara keseluruhan.

Malam tadi, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kehilangan pemimpin gerakan baju merah Datuk Seri Jamal Yunos dan Musa Aman berkata kedua-dua ahli politik itu perlu menyerah diri kepada pihak berkuasa berkaitan atau berisiko ditangkap kerana polis Malaysia boleh mendapatkan bantuan daripada rakan-rakan negara asingnya, termasuk Interpol.

“Adalah lebih baik bagi mereka untuk menyerah diri dan polis akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah undang-undang.

“Tidak kisahlah siapa mereka, polis sedang mencari kes-kes yang kita tahu telah dilaporkan dalam media, kesalahan dilakukan di bawah undang-undang Malaysia dan mereka tidak boleh lari.

“Walaupun mereka mungkin cuba melarikan diri, saya percaya undang-undang akan mengejar mereka,” tegas Muhyiddin.

Related Articles

Leave a Reply