Home PolitikBarisan Nasional Shahidan pecat Menteri Besar Perlis baharu

Shahidan pecat Menteri Besar Perlis baharu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim, hari ini menuntut Datuk Seri Azlan Man yang mengangkat sumpah jawatan menteri besar Perlis pagi ini dipecat serta-merta.

Pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, beliau berkata Azlan sepatutnya tidak terima pelantikan itu kerana tak mendapat sokongan majoriti.

Beliau juga berkata, dirinya selaku pengerusi Umno Perlis telah memecat keanggotaan Azlan dan sedang menunggu pengesahan pemecatan daripada Umno Pusat.

“Kita memecat Azlan Man berkuatkuasa hari ini.

“Selepas ini pusat yang kena maklumkan dan keluarkan surat.

“Sekarang dia jadi menteri besar bebas,” katanya pada sidang media itu yang turut dihadiri oleh sembilan ADUN BN Perlis yang gagal hadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu pagi ini.

Majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar pagi tadi dihadiri oleh tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS hadir.

Shahidan juga memohon Raja Perlis supaya tidak campur tangan pentadbiran negeri dan meminta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya campur tangan dalam pelantikan menteri besar itu.

Katanya, Azlan Man dilantik tanpa surat perlantikan dari BN dan tindakan melantik seseorang yang tidak dapat sokongan majoriti sebagai menteri besar adalah tidak beretika dalam perlembagaan.

 

Related Articles

Leave a Reply