Home Semasa Kerana sokong BN, Air Asia diserang cybertroopers

Kerana sokong BN, Air Asia diserang cybertroopers

by Noor Sheila Amin

Kuala Lumpur, 8 Mei – Serangan beberapa pihak termasuk dari tentera siber yang cuba mempengaruhi pengguna laman sosial memboikot AirAsia gagal apabila ditempelak rakyat yang mempertahankan perkhidmatan penerbangan tambang murah itu.

Pertembungan itu berlaku selepas Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes memuat naik videonya yang mengaitkan kejayaan AirAsia dengan dasar kerajaan serta kejutan pesawat AirAsia yang dicat dengan tema #HebatkanNegaraKu.

Berdasarkan komen di laman sosial Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan status pesawat AirAsia bertema #HebatkanNegaraKu itu, beberapa seruan boikot daripada akaun mencurigakan menerima kutukan rakyat yang mempertahankan AirAsia dan MAS sebagai keperluan rakyat terutama Sabah dan Sarawak.

Felo Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, serangan dialami Tony itu dikesan berbentuk propaganda untuk menjatuhkan kredibiliti pemimpin.

Katanya, cukup mudah untuk mengenal pasti akaun palsu yang digunakan dalam propaganda terbabit kerana interaksi yang bersifat propaganda, tidak mempunyai avatar jelas atau menggunakan wajah palsu bagi melindungi identiti serta interaksi pemilik dalam akaunnya hampir tidak wujud.

“Kerana itu rakyat diminta supaya tidak mudah percaya terjemahan palsu yang cuba menunjukkan ‘ramai’ tidak suka kepada sokongan Tony Fernandes terhadap Perdana Menteri, ini sebenarnya satu taktik kolot yang seharusnya tidak lagi digunakan dalam peperangan media digital.

“Selalunya mereka akan cuba menjatuhkan imej sebab Tony dilihat memberikan sokongan kepada Perdana Menteri serta diterjemahkan sebagai satu sokongan kuat dari industri besar iaitu perniagaan kerana beliau adalah ikon perniagaan berjaya di Malaysia,” katanya kepada BH di sini, tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes propaganda dengan niat menjatuhkan kredibiliti individu itu biasanya membabitkan satu kumpulan yang memiliki jumlah akaun besar seperti antara 50 hingga 100 akaun dan tak semestinya individu persendirian.

“Penajanya pula mungkin sukar ditentukan secara khusus tapi selalunya dalam politik ini, ia berkemungkinan daripada pihak yang memiliki proses untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply