Kuala Lumpur, 1 Apr – Dewan Rakyat mungkin dibubarkan sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan manifesto BN menjelang akhir minggu depan, kata Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini.
“Kemungkinannya, berdasarkan pengalaman kami (BN) sebelum ini, pelancaran manifesto BN dibuat selepas parlimen dibubarkan. Itu dah jadi suatu tradisi.
“(Bagaimanapun) Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Najib akan mengamalkan kaedah yang sama (melancarkan manifesto selepas parlimen dibubarkan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan jalan raya dan perparitan di Sepanggar di sini.
Abdul Rahman, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata manifesto itu dijadual dilancarkan minggu depan, manakala hari terakhir persidangan Dewan Rakyat ialah 5 April.
“Ada seseorang memberitahu saya, tapi saya tidak dapat mengesahkannya. Anda (rakyat) boleh menjangkakan parlimen akan dibubarkan minggu depan,” kata beliau.
Menurut Abdul Rahman, manifesto BN akan dilancarkan secara besar-besaran pada satu majlis di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menteri itu berkata, beliau sudah melihat manifesto berkenaan, yang mengandungi perkara “baik dan memeranjatkan”, terutama bagi Sabah.
“Ada juga beberapa perkara (dalam manifesto itu) yang kita tidak pernah terfikir sebelum ini, bagaimanapun kami (pemimpin BN Sabah) telah berjuang bermati-matian mengenainya supaya perdana menteri memasukkan satu atau dua daripadanya ke dalam manifesto itu. Tunggu sahajalah sehingga pelancarannya (untuk mengetahui perkara itu),” kata beliau.