Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS mempunyai rekod baik, yakin berjaya laksana manifesto

PAS mempunyai rekod baik, yakin berjaya laksana manifesto

by M.Daim

Cyberjaya, 18 Mac – Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, telah melancarkan Manifesto Gagasan Sejahtera dan Malaysia Sejahtera di Astana Banquet Hall Cyberjaya.

Dalam Syarahan Perdana, Haji Hadi menegaskan PAS bersama rakan-rakan dalam Gagasan Sejahtera membawa mesej politik Islam yang bertujuan untuk membawa perubahan bagi memimpin negara dan menyelesaikan masalah yang timbul pada segenap lapisan masyarakat dari pelbagai aspek.

Beliau yakin, pendekatan ini dapat diperkuatkan lagi dengan prinsip yang jelas dan bersesuaian dengan suasana masyarakat majmuk dalam negara.

Malaysia bukanlah sebuah negara yang gagal. Kita dilimpahi dengan berbagai sumber hasil dan potensi yang terbentang luas. Rakyat perlu dibimbing, pemimpin pula mesti mempunyai akhlak dan keikhlasan serta kemahiran untuk memimpin. Dasar dan halatuju negara yang cantik sahaja tidak cukup kerana kita memerlukan pelaksanaan dasar negara yang tidak tiris serta jauh dari bercampur dengan rasuah yang membarah.

Dato’ Seri Haji Abdul Hadi bin Awang

Beliau yang juga Presiden Gagasan turut memperakui bahawa Malaysia pada ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dari pelbagai aspek seperti politik wang, politik kebencian, peningkatan hutang isi rumah serta jurang antara kaya dan miskin yang melebar, peningkatan kos sara hidup, rapuhnya perpaduan antara kaum, peningkatan kadar jenayah serta isu keruntuhan moral.

Haji Hadi turut menegaskan bahawa Gagasan Sejahtera dan PAS mengambil sikap yang adil dalam menghadapi masalah yang dihadapi oleh negara pada ketika ini seperti menghormati mandat rakyat dalam pilihanraya, menyertai pilihanraya sebagai kaedah sebenar untuk menukar kerajaan, menjadi pembangkang yang matang dan sejahtera serta memberi cadangan alternatif terhadap perkara yang tidak dipersetujui, menolak campur tangan kuasa luar dalam kemelut politik tanah air, dan menentang politik fitnah.

Bagi merealisasikan Manifesto Malaysia Sejahtera, Gagasan Sejahtera perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi dan Haji Hadi memperakui bahawa ianya bukan satu tugas yang mudah.

Walaupun begitu, beliau yakin bahawa Gagasan akan terus komited untuk bersama rakyat Malaysia dalam membina negara Malaysia Sejahtera. Beliau menegaskan, perjuangan Gagasan bukannya terhenti pada Pilihanraya Umum Ke-14 sahaja tetapi perjuangan tersebut adalah berterusan.

Menurut Haji Abdul Hadi, beliau yakin bahawa PAS mempunyai rekod yang baik dalam pentadbiran di mana PAS telah memerintah Kelantan untuk selama 28 tahun, pernah memerintah Terengganu untuk satu penggal dan memimpin kerajaan campuran Kedah.

Selain daripada itu, beliau turut memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan yang menunjukkan belum ada pemimpin PAS disiasat atas tuduhan rasuah oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) semenjak 2013.

Kata Presiden PAS, kenyataan tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada PAS dan memberikan imej bahawa PAS bersih dan menolak budaya rasuah.

Pada dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan turut menyatakan bahawa tiada pemimpin PAS Kelantan yang disabitkan atas tuduhan rasuah sepanjang parti itu memerintah Kelantan.

 

Related Articles

Leave a Reply