Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Harapan kutuk kita:Dr Halimah

Harapan kutuk kita:Dr Halimah

by Nurulhuda

Klang, 6 Mac – Sesuatu yang mustahil buat Pas untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRU14 selepas parti Islam itu teruk dikritik dan dipandang rendah oleh parti komponen dalam Harapan. Justeru itu, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata, Pas menerima hakikat pada PRU14 nanti bahawa parti itu akan berdepan sekurang-kurangnya situasi tiga penjuru.

“Setakat ini, kita lihat Harapan mengutuk teruk parti kita.

“Oleh itu, kita tidak perlu lagi fikir untuk bekerjasama dengan mereka,  sebaliknya menumpukan perhatian kepada pertandingan tiga penjuru,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang seolah-olah kesal dengan Pas yang enggan meneruskan kerjasama dengan Harapan meskipun sudah menghantar Bersatu untuk membincangkan perkara itu sebelum ini.

Halimah yang juga Exco Pas Selangor merangkap kawasan Kapar berkata, meskipun Harapan berhenti mengutuk dan memperlekehkan Pas, kerjasama antara keduanya juga tidak akan berlaku.

“Saya fikir ia tak mungkin berlaku.

“Kita juga tidak perlu bimbang dengan sokongan melayu kerana saya lihat orang Melayu semakin ramai yang hormat dan berjinak dengan Pas kerana kita sebuah parti yang berpegang kepada prinsip,” katanya.

Halimah turut menyeru kepada pengundi agar memberi peluang kepada Pas sebagai sebuah parti yang berpegang kepada budaya politik matang dan sejahtera selain berbakti untuk semua tanpa mengira kaum. Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, meskipun Pas tidak bekerjasama dengan Harapan di Selangor namun tidak bermakna parti itu perlu bersendirian.

“Sebaliknya Pas lebih selesa bersama dengan Gagasan Sejahtera untuk menghadapi PRU14 nanti,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, gabungan Pakatan Harapan (Harapan) sudah puas memujuk Pas agar bersama-sama menyertai Harapan bagi menakluki Putrajaya pada PRU14 kelak.

Nurul Izzah yang turun ke Perak baru-baru ini berkata, partinya bersama-sama DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menghantar Bersatu untuk bekerjasama dengan Pas, namun semua langkah itu menemui jalan buntu.

Related Articles

Leave a Reply