Home Pertahanan dan Keselamatan Perasmian Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13

Perasmian Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13

by M.Daim

Kuala Lumpur, 6 Mac – Majlis Perasmian Penubuhan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao 13 (TPA M-13) telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor di Wisma Transit, Kuala Lumpur.

Penglibatan Malaysia sebagai salah sebuah pemerhati di Selatan Filipina merupakan komitmen negara dalam menjaga keamanan serantau.

TPA M-13 adalah kesinambungan dalam memenuhi hasrat kerajaan Filipina dan persetujuan kerajaan Malaysia untuk menghantar tim pemantau untuk tempoh satu tahun. Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Nazi bin Hj Mami telah dilantik untuk mengetuai tim TPA M-13 yang akan menggantikan TPA M-12.

Penghantaran fasa pertama tim TPA M-13 akan dilakukan pada 7 Mac 2018 yang menglibatkan seramai 5 orang manakala kumpulan induk akan dihantar pada 13 Mac 2018 kelak.

Terdiri daripada 16 orang anggota, pecahan keanggotaan Tim Pemantau Antarabangsa Mindanao kali ini terdiri daripada 4 orang pegawai dan seorang anggota dari Tentera Darat Malaysia, 3 orang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia, 3 orang pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, 2 orang pegawai Polis Diraja Malaysia, serta 3 pegawai awam dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perdana Menteri.

Mempunyai keanggotaan yang paling ramai, Malaysia merupakan Lead Nation atau Negara Ketua dalam melaksanakan misi pemantauan yang turut disertai oleh Brunei, Indonesia, Jepun dan Norway.

Seramai 16 orang anggota Tim Pemantauan Antarabangsa Mindanao 13 akan memulakan tugas mereka selama setahun mulai bulan ini.

Malaysia telah menghantar 12 tim ke Mindanao semenjak 24 Ogos 2004 melalui ATM. Beberapa perjanjian damai yang telah dimeterai diantara kerajaan Filipina dan Moro Islamic Liberation Front (MILF) telah membuktikan keberkesanan pasukan pemantau antarabangsa untuk mencapai objektif bagi mengembalikan kedua-dua pihak bertelagah di wilayah Selatan Filipina untuk kembali ke meja rundingan.

Bagi proses Perjanjian Damai, Jawantankuasa Panel Kongres iaitu Local Government, Muslim Affairs, and Peace, Reconciliation and Unity telah menubuhkan jawatankuasa kecil yang bertanggungjawab untuk menyediakan draf undang-undang yang disatukan dari 4 versi undang-undang Bangsamoro, Bangsamoro Basic Law (BBL).

Menurut Panglima Angkatan Tentera, kerajaan Filipina memaklumkan bahawa Bangsamoro Basic Law kini ditahap akhir. Beliau turut optimis bahawa keamanan di Mindanao dapat dicapai. Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi dalam ucapan majlis turut menyatakan bahawa keadaan di Selatan Filipina mempunyai hubungkait dengan situasi di kawasan Pantai Timur Sabah.

Manila dan MILF telah menandatangani 4 perjanjian baru setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan komitmen ke atas perjanjian damai. Perjanjian baru tersebut telah ditandatangani pada 15 Disember lalu di Kuala Lumpur.

Sehingga hari ini, tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan proses perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan MILF. Malaysia turut bersetuju untuk terus melibatkan diri dalam proses pemantauan dengan menghantar kumpulan ke-13 Tim Pemantau Antarabangsa.

Penglibatan semua pihak – ATM, PDRM, dan jabatan awam dalam Tim Pemantauan Antarabangsa jelas menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk memastikan keadaan di Mindanao kembali stabil.

Antara tugasan Tim Pemantau adalah untuk mewujudkan keadaan yang kondusif bagi kedua-dua pihak dalam menjalankan proses rundingan damai sehingga Mindano mencapai keamanan sepenuhnya. TPA M-13 akan terus memainkan peranan penting agar tiada insiden yang boleh menggugat proses kelulusan BBL.

 

 

Related Articles

Leave a Reply