Home Semasa Dedah aset pengarah CID kepada umum, gesa MP

Dedah aset pengarah CID kepada umum, gesa MP

by Noor Sheila Amin

Bayan Baru, 6 Mac – Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan aset dimiliki Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan terhadap Wan Ahmad susulan akaun banknya dibekukan di Australia sangat serius dan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

“Dalam kes ini, kerajaan BN gagal menunjukkan ketegasan mereka membanteras persepsi negatif terhadap PDRM. Sekadar penafian tidak mencukupi.

“Saya menyeru Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri mengumumkan deklarasi aset daripada Wan Ahmad Najmuddin kepada umum,” katanya dalam kenyataan media.

Pada 2 Mac lalu, akhbar Australia Sydney Morning Herald melaporkan pembekuan akaun Wan Ahmad dengan jumlah lebih A$320,000 (RM971,800) kerana disyaki mempunyai wang yang dicuci atau hasil kegiatan jenayah.
Akhbar itu juga melaporkan Wan Ahmad enggan menuntut semula wang berkenaan kerana kos undang-undang yang mahal.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Wan Ahmad telah membuktikan sumber wang dalam akaun miliknya di Australia adalah sah.

Mohamad Fuzi berkata Najmuddin telah menunjukkan dokumen membuktikan wang tersebut hasil daripada jualan rumahnya di Shah Alam, Selangor dengan harga pasaran RM700,000 (A$260,770) ketika itu.

Jawapan itu kemudian dipertikai Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin yang mempersoalkan sekiranya wang tersebut daripada sumber yang sah, mengapa Wah Ahmad tidak membuat tuntutan melalui tindakan mahkamah.

Mengulas lanjut Sim berkata, Zahid dalam satu sidang akhbar sebelum ini memaklumkan bahawa pegawai tinggi pegawai polis ada membuat deklarasi aset terhadap kerajaan.

“Maka tiba masanya, kerajaan Barisan Nasional mematikan isu ini dengan mengumumkan penyata deklarasi aset beliau (Wan Ahmad) kepada umum.

“Ini akan menunjukkan dengan jelas pendapatan, simpanan, pelaburan dan aset beliau.

“Jika berlaku sebarang kekayaan yang luar biasa, ia boleh dikesan dengan mudah,” kata Sim.

Tambahnya, PKR juga bersedia mengumpulkan akauntan untuk membantu Wan Ahmad menganalisa penyata deklarasi aset beliau demi mengembalikan nama baik pegawai tinggi polis itu.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!