Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PKR bukan ancaman besar PAS di Parlimen Pasir Mas

PKR bukan ancaman besar PAS di Parlimen Pasir Mas

by Air Times News Network

PASIR MAS, 22 Feb – Tindakan Pakatan Harapan (Harapan) meletakkan PKR untuk bertanding di kerusi Parlimen Pasir Mas bukan satu ancaman besar dalam usaha Pas mempertahankan kawasan yang sudah sebati dengan parti itu.

Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad berkata, ini kerana PKR tidak mempunyai saf kepimpinan dan jentera yang hebat untuk menggerakkan kemenangan parti itu pada PRU14 nanti.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh berada dalam keadaan ‘zon selesa’ kerana situasi politik boleh berubah pada bila-bila masa.

“Apa yang penting, jentera Pas perlu sentiasa istiqamah dan bekerja lebih keras untuk mempertahankan Parlimen Pasir Mas daripada jatuh ke tangan BN mahupun Harapan,” katanya.

Menurutnya, PRU14 kali ini dilihat lebih cenderung kepada pertembungan dua seteru tradisi antara parti itu dengan BN terutama di Kelantan.

Katanya, Pas dan BN sahaja yang dominan dan sudah sebati dengan rakyat di sini.

“Parti gabungan Harapan kebanyakan masih baharu  terutama Amanah dan Bersatu.

“Hanya PKR dan DAP sahaja yang dilihat cukup senior. Bagaimanapun mereka ini tidak mempunyai jentera yang kuat untuk mengharungi PRU14 itu nanti,” katanya.

Hanifa berkata, Pas kawasan itu juga sudah bersiap sedia untuk mempertahankan tiga Dun yang dimenangi pada PRU13 lalu iaitu Tendong, Pengkalan Pasir dan Chetok.

Katanya, gerak kerja itu sudah dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan Pas terus kekal di Parlimen Pasir Mas.

Mengulas mengenai calon PRU14, Hanifa menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan.

Katanya, Pas Kawasan Pasir Mas akan menerima mana-mana calon yang diletak oleh pucuk parti.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!