Kuala Lumpur, 15 Feb – Seramai 6 orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah disenarai pendek bagi mewakili Malaysia dalam kejohanan World Cricket League Div 4 (WCL 4) yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 April sehingga 8 Mei 2018.
Ini merupakan satu penghargaan kepada pemain Tim Kriket TUDM berikutan pencapaian yang memberangsangkan semasa temasya Sukan Sea di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Kejohanan WCL 4 merupakan kejohanan kriket peringkat antarabangsa yang disertai oleh Itali, Vanuatu, Jersey, Uganda, Denmark dan Malaysia. Dalam kejohanan tersebut, Malaysia perlu berada di tangga ke-2 teratas bagi melayakkan pasukan negara untuk dinaikkan ke Division 3. Sebagai persiapan untuk kejohanan tersebut, Tim Kriket Malaysia akan mengadakan siri jelajah di Sri Lanka bermula 16 Februari sehingga 10 Mac.
Buat julung kalinya, 2 orang anggota TUDM telah diberikan kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai Captain dan Vice Captain. Tugas sebagai Captain digalas oleh Koperal Udara Anwar bin Arudin manakala Laskar Udara I Muhamad Syahadat bin Ramli dipilih untuk menggalas tugas sebagai Vice Captain. Ini sekaligus satu catatan sejarah buat TUDM dan juga satu penghormatan kepada pemain TUDM yang mempamerkan aksi cemerlang dalam mengharumkan nama negara serta TUDM.
Satu majlis pemakaian pangkat turut diadakan bagi Anggota TUDM yang telah berjaya mengharumkan nama negara dengan memenangi pingat emas di Sukan SEA tahun lalu. Majlis ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Buang.
Seramai 11 orang anggota telah menerima satu tangga kenaikan pangkat dari pangkat hakiki. Dari kesemua 11 orang anggota, 7 daripadanya merupakan atlet kriket, 3 dari sepak takraw (Chinlone) dan seorang atlet pentanque.