Home Semasa Mahkamah Persekutuan Putuskan Persetujuan Kedua Ibu Bapa Perlu Bagi Penukaran Agama Anak Kepada Islam

Mahkamah Persekutuan Putuskan Persetujuan Kedua Ibu Bapa Perlu Bagi Penukaran Agama Anak Kepada Islam

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 29 Jan – Mahkamah Persekutuan menyampaikan penghakiman yang bersejarah apabila memutuskan pasangan yang memeluk Islam dan pasangannya yang bukan Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Panel lima hakim yang disidangi oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Ramly Ali mengetepikan keputusan berhubung penukaran agama tiga anak guru Tadika M. Indira Gandhi secara satu pihak oleh bekas suaminya yang merupakan seorang mualaf.

Hakim Zulkefli yang mengetuai panel itu berkata keputusan tersebut dicapai sebulat suara sambil berkata walaupun penukaran agama adalah isu yang menimbulkan perbalahan, namun keputusan mahkamah tidak dipengaruhi oleh kepercayaan agama.

Hakim Zainun yang menyampaikan penghakiman mahkamah berkata persetujuan daripada Indira Gandhi dan bekas suaminya Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagi K. Pathmanathan) adalah diperlukan sebelum sijil penukaran agama kepada Islam dapat dikeluarkan kepada ketiga-tiga anak mereka.

Beliau berkata pendekatan membenarkan penukaran agama anak atas persetujuan hanya satu pihak akan menimbulkan persoalan yang sukar.

“Penukaran kepada agama lain adalah keputusan penting yang mempengaruhi kehidupan seorang kanak-kanak kerana ia mengenakan satu set undang-undang peribadi yang baharu dan berbeza,” kata beliau dan menambah adalah demi kepentingan kanak-kanak itu, persetujan dari kedua-dua ibu bapa harus diperoleh.

Zainun berkata mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar hal Indira Gandhi kerana ‘perkara utama tidak menyentuh anak-anaknya sebagai seorang yang menukar agama atau persoalan undang-undang dan amalan peribadi Islam mengenai kesahihan tindakan pentadbiran daripada segi perlembagaan yang diambil oleh Pendaftar Mualaf.

Beliau berkata memandangkan Indira Gandhi bukan seorang Muslim, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk hadir di Mahkamah Syariah, oleh itu Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memperluaskan bidang kuasa bagi mendengar perkara tersebut.

Ketiga-tiga anak Indira Gandhi’, dua perempuan dan seorang lelaki, sekarang berusia 20, 19, dan sembilan tahun. Bapa mereka Muhammad Riduan, 47, menukarkan agama mereka kepada Islam pada April 2009 tanpa persetujuan (Indira Gandhi) selepas dia memeluk Islam.

Kanak-kanak tersebut, ketika itu berusia 12 dan 11 tahun dan 11 bulan. Anak perempuan bongsu tinggal bersama Muhammad Riduan sementara dua orang lagi dijaga oleh ibu mereka.

Pada 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh membenarkan permohonan Indira Gandhi untuk semakan kehakiman membatalkan pengislaman anak-anak mereka tetapi keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti pada 2015 yang mengembalikan sijil penukaran agama kanak-kanak tersebut selepas membenarkan rayuan oleh pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Kerajaan Negeri Perak dan dan Pendaftar Mualaf, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan.

“Kami mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama berhubung penukaran agama anak-anak itu kepada Islam kerana tidak mematuhi seksyen 96 dan 10 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004,” kata beliau.

Seksyen 96 menyebut bahawa seseorang yang mahu memeluk Islam mesti mengucap dua kalimah Syahadah dan pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaan hari sementara Seksyen 106 menyebut bahawa seseorang yang belum mencapai umur lapan belas tahun perlu mendapatkan keizinan secara bertulis daripada ibu bapa atau penjaga bagi memeluk Islam.

Mahkamah Persekutuan menarik perhatian kepada bukti yang tidak dipertikaikan bahawa anak-anak Indira Gandhi tidak mengucap Dua kalimah Syahadah dan tidak hadir di hadapan Pendaftar Mualaf sebelum sijil penukaran agama dikeluarkan.

Zainun berkata tiada peruntukan yang dinyatakan dalam Seksyen 50 (3) (b) (x) Enakmen Perak yang memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukan kesahihan penukaran agama seseorang kepada Islam tetapi seksyen itu hanya memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan perisytiharan bahawa seseorang itu tidak lagi Muslim”.

“Kami kini mengambil pendirian yang tegas mengenai perkara ini – bahawa sebelum mahkamah sivil menolak bidang kuasa berdasarkan kuasa Perkara 121 (1A), ia perlu terlebih dahulu mengkaji atau meneliti sifat-sifat perkara itu. Jika ia melibatkan isu-isu perlembagaan, ia tidak boleh menolak untuk mendengarnya hanya berdasarkan tidak ada bidang kuasa,” kata beliau.

Di luar mahkamah, Indira Gandhi, yang menitiskan air mata, berkata berkata dia mengucapkan terima kasih kepada para peguamnya, hakim dan mereka yang memberi sokongan kepadanya.

“Yang sedihnya ialah anak perempuan saya masih tidak bersama saya. Saya tidak dapat berjumpa dengannya. Saya rindu benar untuk memeluknya, sudah sembilan tahun….bila dia akan kembali ke pangkuan saya. Walaupun kami menang kes, dia masih tidak bersama kami,” katanya.

“Sebagai seorang ibu, saya masih mempunyai banyak perkara untuk berkongsi dengan anak bongsu saya terutama pada saat ini selepas berjuang untuk mendapatkan kembali anak-anak saya,” kata Indira Gandhi yang hadir di mahkamah dengan ditemani oleh ibunya S. Vengamah, 75 dan anggota keluarga yang lain.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya dia menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Pada 2010, Mahkamah Tinggi di Ipoh memberi kepada Indira Gandhi hak penjagaan sepenuhnya terhadap ketiga-tiga anaknya dan Muhammad Ridhuan diperintahkan supaya menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya.

Related Articles

Leave a Reply