KUALA LUMPUR, 22 Sept – Kerajaan Kelantan digesa menarik balik larangan persembahan tarian Mak Yong dan lain-lain bentuk seni tradisional Melayu secara terbuka.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune berkata budaya ini yang kaya dengan tradisis sebaliknya perlu dirai dan dihargai kerana ia adalah satu seni pentas yang tertua di dunia.
Beliau berkata langkah-langkah juga perlu diambil bagi meningkatkan kefahaman dan penjelasan tentang maksud amalan-amalan ini, dan sejarahnya yang panjang di Malaysia untuk mengatasi pandangan prejudis mengenainya.
“Oleh kerana Kelantan kaya dengan tradisi seni, sekatan ke atas bentuk seni tradisional yang lain seperti wayang kulit, main puteri dan dikir barat juga perlu ditarik balik. Rakyat harus menikmati persembahannya dan menghargai budaya asli ini yang telah wujud selama berabad-abad,” kata beliau pada sidang media mengenai hak-hak budaya Malaysia di sini hari ini.
Mak Yong merupakan salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan dan ia telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).