KUALA LUMPUR, 19 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di khalayak ramai pada bulan Ramadan adalah perbuatan yang bertentangan dengan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dalam satu Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, menyampaikan teguran Perdana Menteri yang menyeru agar tindakan sedemikian dihentikan.
“Saya mulakan taklimat taklimat hari ini dengan pesanan dan teguran YAB Perdana Menteri berkait insiden seorang pemuda bukan Islam ditampar kerana makan di khalayak ramai baru-baru ini.
“Apa gunanya kita bicara soal Islam serta keindahannya, terutama di bulan Ramadan, sekiranya ia tidak membina kekuatan dalaman dan menjauhkan kita dari sikap yang bengis serta mengancam keamanan dan kerukunan,” tegas Nashrul.
Kejadian melibatkan warga emas dan pemuda berbangsa Cina berkenaan difahamkan berlaku di sebuah pusat beli belah di Johor Bahru, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Nashrul juga menekankan kepentingan prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain bagi mengelakkan isu sensitif berkaitan agama, kaum dan bangsa daripada berulang.
“YAB PM percaya bahawa sekiranya semua pihak patuh dan komited kepada nilai-nilai toleransi, kita dapat membina sebuah negara yang bertamadun serta harmoni,” tambahnya.
Ujarnya, Anwar berharap rakyat Malaysia terus memelihara keharmonian dan tidak mudah terpengaruh dengan tindakan ekstrem yang mencetuskan ketegangan.
Untuk rekod, sebelum ini tular di media sosial sebuah hantaran beserta video yang memaparkan seorang pemuda ditegur oleh seorang lelaki warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan.
Menurut mangsa, lelaki berkenaan menghampirinya dan menamparnya beberapa kali di hadapan orang ramai meskipun sudah dijelaskan tidak berpuasa kerana bukan beragama Islam.
Susulan kejadian berkenaan, keluarga pelaku telah tampil memohon maaf dan video insiden tersebut kini telah meraih lebih 6.8 juta tontonan. -airtimes.my
#Pemuda #tidakberpuasa #wargaemas #airtimes #Malaysia #ditampar