KUALA LUMPUR, 3 Jul – Seorang wanita warga emas maut selepas ambulans yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen di sini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, ambulans yang membawa mangsa sedang dalam perjalanan dari Bulatan Pahang menghala ke arah Parlimen sebelum melanggar belakang sebuah kereta Perodua Myvi.
Beliau berkata, mangsa Fatimah Mohd Arzbon, 67, yang sebelum itu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kampung Baru di sini maut di tempat kejadian.
“Ambulans berkenaan bertolak dari sebuah hospital swasta di Kampung Baru membawa semua penumpang ke rumah mangsa di Taman Tun Dr. Ismail.
“Pemandu Perodua Myvi dikatakan mengubah haluan ke lorong tengah menyebabkan ambulans itu melanggar bahagian belakang kereta tersebut sebelum terbabas melanggar tembok batu dan berpusing,” katanya.
Zulkefly berkata, enam mangsa termasuk pemandu ambulans, pembantu perubatan, jururawat dan dua anggota keluarga mangsa yang turut berada dalam ambulans berkenaan mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, pemandu Perodua Myvi, Wehad Salah Abdul Fattah, 30 berasal dari Yaman tidak mengalami sebarang kecederaan.