JOHOR BAHRU, 3 Jan – Jumlah mangsa banjir di Johor kini meningkat mendadak sehingga mencecah kepada 5,818 orang daripada 1,540 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 1,780 mangsa daripada 500 keluarga, malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, setakat ini terdapat 7 daerah yang terlibat antaranya ialah Daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat, Mersing dan Pontian.
Beliau berkata, sebanyak 56 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di seluruh negeri Johor sehingga pagi ini iaitu 2 di Mersing, Pontian (1), Kluang (19), Kota Tinggi (14), Johor Bahru (13), Kulai (5) dan 2 di Batu Pahat.
“Mangsa banjir di Kluang meningkat kepada 1,826 orang daripada 545 keluarga pagi ini berbanding 698 orang daripada 206 keluarga, malam tadi,
“Mangsa banjir di Kota Tinggi turut melonjak kepada 868 orang daripada 221 keluarga di 14 PPS, pagi ini berbanding hanya 286 orang daripada 66 keluarga di tujuh PPS, malam tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, di Johor Bahru melonjak kepada 2,452 orang daripada 593 keluarga di 13 PPS, berbanding hanya 690 mangsa banjir daripada 189 keluarga ditempatkan di 6 PPS malam tadi.
“Begitu juga Kulai yang meningkat kepada 581 mangsa daripada 156 keluarga di 5 PPS pagi ini berbanding hanya seramai 99 mangsa banjir daripada 25 keluarga di 2 PPS, malam tadi,
“Batu Pahat pula bertambah kepada 28 mangsa banjir daripada 10 keluarga di 2 PPS pagi ini, berbanding hanya 7 mangsa banjir daripada 4 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bulan, Yong Peng, malam tadi,” ujarnya.
Sementara itu, Vidyananthan menjelaskan, 2 daerah terbaharu terjejas akibat banjir di Johor adalah Mersing dan Pontian.
“Mersing mencatatkan 57 mangsa yang dipindahkan daripada 14 keluarga di 2 PPS manakala Pontian memindahkan 6 keluarga di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai,” tambahnya.
Beliau turut menggesa rakyat Johor agar terus berwaspada berikutan Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) masih mengeluarkan amaran cuaca buruk berwarna jingga dengan hujan lebat dijangka berterusan di kawasan Johor Bahru; Kota Tinggi; Kluang; Kulai; Pontian; Mersing; Batu Pahat dan Segamat.
“Paras beberapa sungai di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup di Pontian juga dijangka meningkat jika hujan berterusan ditambah waktu air pasang tengah hari nanti,” katanya. -airtimes.my