Dalam satu kenyataan, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, kempat-empat anggota SPR itu ialah Datuk Md. Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.

Azhar berkata, seorang lagi anggota suruhanjaya iaitu Datuk K. Bala Singam masih meneruskan perkhidmatan beliau.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan mengenai Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang memperuntukkan Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

“Keputusan pemendekkan tempoh perkhidmatan ini telah dicapai dan dipersetujui oleh mereka yang berkenaan dalam satu perbincangan yang telah diadakan pada Isnin lalu (15 Oktober), iaitu sebelum berita mengenai penubuhan tribunal khas disiarkan oleh pihak media semalam,” katanya.

Azhar berkata, surat bagi memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan pemendekkan perkhidmatan itu telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara pada hari ini.

Semalam, sebuah portal melaporkan bahawa kerajaan akan menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan ke atas SPR, termasuk dakwaan salah laku suruhanjaya itu dan kemungkinan penglibatan pesuruhjayanya, terutamanya ketika pilihan raya umum (PRU) sebelum ini.

Portal itu melaporkan langkah itu dilihat sebagai usaha pembaharuan sistem pilihan raya dan juga menyingkirkan pegawai SPR yang disyaki terlibat dalam salah laku. – BERNAMA