[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=VJ8OdyIHNsM[/embedyt]
Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa mempertingkatkan kesiagaan dan kemampuan warga serta asetnya. Ini terutamanya dalam usaha mengawal kedaulatan negara menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) yang dilaksanakan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak COVID-19 menerusi pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Rejimen Artileri Diraja (RAD) turut ditugaskan untuk memikul tanggungjawab Op Benteng yang turut bermatlamat untuk membanteras kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan.
Pegawai Memerintah, Rejimen 61 Artileri Diraja (61 RAD), Leftenan Kolonel Nor Azlim Nawi berkata, Rej 61 RAD merupakan sebuah unit di bawah RAD yang ditugaskan untuk melakukan pengesanan kepada pasukan artileri musuh ketika dalam operasi.
Menurutnya, pasukan 61 RAD juga ditugaskan bagi membantu formasi untuk melaksanakan tembak balas infantri atau memusnah sasaran artileri musuh dan kepentingan lain sekiranya diperlukan.
Dalam Op Benteng pula, 61 RAD diaturgerakkan untuk melakukan tugas-tugas infantri, di mana salah satunya adalah dengan melaksanakan pengawasan dan pemerhatian sepanjang 24 jam di persisir pantai perairan negara.
“Pasukan 61 RAD ditugaskan untuk membanteras kemasukkan PATI dan aktiviti penyeludupan di sekitar pantai Timur Johor,
“Pemerhatian berterusan dilaksanakan adalah bagi mendapatkan maklumat perisikan berkenaan aktiviti kemasukan PATI dan penyeludupan di sekitar kawasan tanggungjawab yang diberikan oleh Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd),” katanya kepada AirTimes.
Koordinasi anggota perkukuh operasi
Mengulas mengenai pencapaian pasukan sepanjang operasi ini, Nor Azlim berkata, kejayaan seperti pelaksanaan operasi secara efektif dan tangkapan PATI dalam jumlah yang agak besar memerlukan koordinasi yang baik dari semua elemen yang terlibat.
Tambahnya, pasukan telah mengaturgerakan anggota dari pos pemerhati ke kawasan titik panas (hot spot) pendaratan PATI serta lain-lain kawasan berdasarkan maklumat perisikan semasa.
Kumpulan ronda jarak jauh menggunakan kenderaan motosikal akan membuat rondaan di jalan raya dan kawasan yang dikenalpasti. Penugasan motosikal merupakan satu pendekatan baharu diperkenalkan oleh TDM.
“Tugasan kedua-dua elemen ini adalah sama iaitu membuat pemerhatian, pengawasan dan seterusnya mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan PATI di kawasan operasi,
“Kemudian, maklumat tersebut seterusnya akan disalurkan ke Markas Taktikal serta kepada pihak-pihak yang berkenaan atau agensi lain yang terlibat dalam Op Benteng ini untuk tindakan lanjut,
“Sekiranya kumpulan Quick Reaction Forces (QRF) diperlukan, tim ini akan diaturgerakan untuk membuat penjejakan dan tangkapan di kawasan pendaratan PATI,
“PATI yang ditangkap akan dikumpulkan di lokasi pendaratan sebelum dibawa ke Markas Taktikal untuk proses dokumentasi dan siasatan awal,” ujarnya.
Penduduk sanggup jadi tali barut tekong
Secara keseluruhan, jelasnya, penduduk setempat telah memberikan kerjasama yang baik kepada pasukan. Namun begitu, terdapat juga segelintir penduduk setempat yang sanggup menjadi tali barut kepada tekong dan penyeludup.
“Sepanjang melaksanakan operasi, pasukan juga tidak terlepas daripada menerima ancaman daripada tekong dan orang perantaraan ketika melaksanakan tugasan di lapangan,
“Dalam masa yang sama, anggota pasukan juga berhadapan dengan penduduk setempat yang bekemungkinan menjadi tali barut dengan menyampaikan maklumat aktiviti pasukan keselamatan yang melaksanakan tugasan kepada tekong atau penyeludup,
“Sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan dari penduduk setempat, pasukan akan memaklumkan kepada pihak atasan dan polis untuk tindakan susulan,” tambahnya.
Pasukan pertingkat SOP sepanjang operasi
Sementara itu, mengulas berkenaan pelaksanaan operasi ketika wabak pandemik COVID-19, Nor Azlim menjelaskan, pasukannya telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dengan teliti dalam mengendalikan PATI sepanjang operasi ini.
Menurutnya, setiap anggota terlibat dalam operasi tangkapan dan menguruskan PATI perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pasukan.
“Anggota yang terlibat dalam proses penyiasatan dikehendaki memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang lengkap bagi mengelakkan sebarang jangkitan,
“Pasukan juga berkerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat ujian saringan COVID-19 terhadap PATI yang ditangkap,
“Sekiranya terdapat PATI yang positif semasa tangkapan dilakukan, anggota yang terlibat dalam proses saringan serta dokumentasi akan dikuaratin selama 10 hari,
“Ujian saringan COVID-19 pula akan dilakukan sekiranya terdapat anggota yang terlibat mempunyai gejala, manakala mereka yang tiada gejala, akan meneruskan tugas seperti biasa,” tambahnya.
Kejayaan pasukan, kejayaan seluruh warga ATM
Nor Azlim turut menjelaskan, kejayaan pasukannya dalam melaksanakan Op Benteng ini bukanlah milik RAD semata-mata, tetapi ia adalah kejayaan seluruh anggota ATM dan TDM khasnya.
“Kejayaan ini milik seluruh anggota ATM di dalam membantu kerajaan menangani kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan,
“Sudah tentu jumlah tangkapan yang agak besar ini boleh dijadikan sebagai pemangkin dan menaikkan moral lain-lain anggota dalam ATM,” jelasnya yang turut merasa bangga dengan kejayaan pasukannya dalam operasi kali ini.-airtimes.my