Di sebalik reka bentuk aerodinamik dan profil separa halimunan pesawat tempur KF-21 Boramae, tersembunyi satu komponen yang menjadi nadi sebenar keupayaannya. Radar Active Electronically Scanned Array (AESA) buatan Korea Selatan kini dilihat sebagai simbol lonjakan teknologi pertahanan negara itu dalam arena kuasa udara moden, sekali gus mengubah persepsi global terhadap keupayaan industri aeroangkasa Seoul.
Radar bukan sekadar alat pengesan. Dalam peperangan udara moden yang pantas dan kompleks, keupayaan radar menjadi faktor penentu kelebihan taktikal. Kejayaan Korea Selatan membangunkan dan kini menguji radar AESA sendiri meletakkan KF-21 dalam liga yang jauh lebih serius.
Radar KF-21 memasuki fasa ujian kritikal

KF-21 semasa penerbangan ujian pada 5 November 2025. Foto: Korean Air Force
Pada Khamis, 29 Januari 2026, satu lagi batu asas penting telah diletakkan dalam sejarah pertahanan Korea Selatan. Agensi Pembangunan Pertahanan (ADD) bersama-sama Kementerian Pertahanan dan Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA), mengumumkan pelancaran fasa penilaian kritikal untuk sistem radar canggih jet pejuang tersebut.
Pengumuman ini bukan sekadar formaliti birokrasi. Ia menandakan peralihan drastik KF-21 daripada sebuah pesawat yang hanya “boleh terbang” kepada sebuah mesin tempur “pelbagai peranan” (multi-role) yang sebenar.
Menurut ADD, sistem radar ini direka bagi menyokong misi udara, darat dan maritim secara menyeluruh. Dalam mod udara ke permukaan dan udara ke laut, radar ini mampu mengesan serta menjejaki sasaran di darat dan perairan dengan ketepatan tinggi.
ADD menyasarkan integrasi penuh radar AESA ini ke dalam pesawat KF-21 menjelang Disember 2028. Apabila proses ujian selesai, KF-21 akan memiliki keupayaan misi pelbagai guna semua cuaca. Bagi mod udara ke udara, ujian awal telah pun dilaksanakan dan keupayaan ini dijangka mula digunakan pada pesawat KF-21 (Block 1) menjelang akhir tahun ini.
Apa itu radar AESA dan mengapa ia penting
Sistem baharu ini direka untuk melakukan “multitasking” pada tahap ekstrem. Radar AESA berfungsi menggunakan ratusan hingga ribuan modul pemancar dan penerima yang beroperasi secara serentak. Tidak seperti radar mekanikal lama yang bergantung kepada pergerakan fizikal antena, AESA mengubah hala pancaran gelombang secara elektronik.
Keupayaan ini membolehkan pengesanan dan penjejakan ratusan sasaran serentak sambil mengekalkan ketepatan tinggi. Radar ini juga mampu beralih antara mod udara, darat dan laut dalam tempoh sekelip mata.
Lebih penting lagi, radar AESA jauh lebih sukar dikesan oleh sistem amaran musuh dan mempunyai kebarangkalian pintasan yang rendah, sekali gus meningkatkan kelangsungan pesawat dalam ruang udara yang dipenuhi ancaman.
Ini bermakna, seorang juruterbang KF-21 kelak mampu bertempur dengan pesawat musuh (mod udara-ke-udara), sambil radarnya secara automatik mengunci kedudukan kereta kebal musuh di darat atau kapal perang di laut (mod udara-ke-permukaan) tanpa gangguan.
Manakala, keupayaan semua cuaca” juga menjamin operasi tidak terhalang oleh hujan lebat atau kabus tebal, memberikan kelebihan taktikal berbanding sistem optik.
Cabaran teknikal dan pencapaian strategik Korea Selatan

Radar Hanwa KF-21 AESA (Active Electronically Scanned Array).
Pembangunan radar AESA merupakan antara cabaran paling kompleks dalam industri pertahanan. Ia memerlukan kepakaran teknologi dalam semikonduktor, pemprosesan isyarat digital dan pengurusan haba. Atas sebab itu, hanya segelintir negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, China, Perancis, Sweden, United Kingdom mampu membangunkannya secara berdikari.
Penyertaan Korea Selatan ke dalam kelompok elit ini menandakan perubahan besar landskap industri pertahanannya. Radar yang dibangunkan oleh Hanwha Systems ini membuktikan wujudnya ekosistem kejuruteraan tempatan yang mampan.
Implikasi strategik di Asia Timur
Kejayaan ini perlu dilihat dalam konteks keselamatan Asia Timur yang semakin tegang, dengan peningkatan keupayaan udara China dan pembangunan program tempur generasi baharu oleh Jepun (GCAP).
Dalam landskap ini, radar AESA memberikan Korea Selatan keupayaan pencegah (deterrence) yang kredibel. Ia membolehkan KF-21 beroperasi secara efektif dalam konflik berintensiti tinggi tanpa kebergantungan mutlak kepada teknologi asing.
Mesyuarat pelancaran fasa penilaian oleh ADD menjadi isyarat jelas kepada dunia. Menjelang 2028, KF-21 Boramae akan melengkapkan transformasinya daripada prototaip kepada pemangsa langit yang versatil. KF-21 kini bukan lagi sekadar impian; ia adalah realiti yang sedang diuji, dinilai, dan bersedia untuk beraksi. Ia bukan sekadar pesawat peralihan, tetapi platform tempur yang relevan dalam konflik berintensiti tinggi.
Lebih daripada sekadar pencapaian teknikal, radar AESA KF-21 juga mencerminkan kematangan dasar pertahanan Korea Selatan. Ia menunjukkan bahawa pelaburan jangka panjang dalam penyelidikan dan pembangunan mampu menghasilkan keupayaan strategik sebenar yang mengubah imbangan kuasa di udara. -airtimes.my


