Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail berkata, kerja-kerja pengurusan trafik dan penutupan lorong di Plaza Tol Batu Tiga telah bermula semalam manakala Plaza Tol Sungai Rasau akan bermula hari ini seperti yang dijadualkan.

Menurut beliau, walaupun pihaknya sedang menumpukan terhadap kerja-kerja perobohan struktur fizikal kedua-dua tol tersebut, PLUS sentiasa prihatin dengan keselamatan pengguna jalan raya dan juga pekerja kontraktor perobohan.

“Terdapat banyak papan tanda amaran yang disediakan di lokasi itu terutamanya melibatkan papan tanda amaran seperti had kelajuan kenderaan, dilarang memotong, lencongan di hadapan dan sebagainya untuk memberi peringatan kepada kira-kira 150,000 pemandu yang melalui kawasan itu setiap hari.

“Kon-kon keselamatan berpelekat pemantul cahaya turut diletakkan di lokasi tersebut bagi membolehkan pemandu mengetahui kedudukan lorong. Lampu-lampu jalan turut dinyalakan pada waktu malam untuk memberi panduan kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.