KUALA LUMPUR, 10 Jan – Barisan Nasional (BN) Sabah dan Parti Warisan (WARISAN) menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan di negeri bawah bayu itu.
Pertemuan 4 mata semalam antara Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Sabah Datuk Bung Moktar Radin sedikit telah meredakan kemelut politik Sabah.
Bung Moktar dalam kenyataannya malam tadi memaklumkan, menyokong penuh cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang membabitkan semua parti politik negeri itu.
Jelasnya yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau yakin Kerajaan Perpaduan ini mampu meredakan kembali suhu politik dan seterusnya menstabilkan semula politik Sabah ketika ini.
“Saya juga berharap agar Hajiji Noor dapat menerima saranan Perdana Menteri dengan hati terbuka demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sementara itu, kenyataan serupa juga telah dikeluarkan oleh Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal malam tadi.
“Selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri (pada 9 Januari) dan ketua-ketua parti, saya dan ADUN Warisan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan untuk mentadbir Sabah,” katanya.
Di sebalik perdamaian yang dihulurkan, Bung Moktar dan Shafie, masing-masing menyatakan bahawa sebahagian besar jika tidak semua Adun mereka tidak akan menghadiri sidang khas DUN hari ini.
Bung Moktar menjelaskan, majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah tidak dapat hadir dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, berikutan perlu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Kuala Lumpur.
Manakala, Shafie pula memaklumkan, ADUN Warisan menyiapkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas yang akan menentukan kepimpina Kerajaan Perpaduan yang baharu nanti.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu berjanji untuk menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan Gas 2023 dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 yang akan dibentangkan dalam sidang khas terbabit.
Jumaat lalu, BN Sabah mengumumkan bahawa mereka menarik balik sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri sehingga timbul khabar angin menyatakan tindakan itu sebagai cubaan untuk menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN yang dibentuk secara bersama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2020.
Bagaimanapun, tindakan itu gagal menyingkirkan Hajiji kerana 5 daripada 18 Ahli Parlimen BN Sabah dan 7 ADUN Pakatan Harapan (PH) memilih untuk kekal bersamanya.
Sehingga malam tadi, GRS menyatakan mempunyai sokongan 44 ADUN termasuk termasuk ADUN PH manakala, sebahagian ADUN UMNO, Warisan dan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pula mempunyai 35 kerusi.-airtimes.my