KUALA LUMPUR, 30 SEPT – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu bersedia untuk mengkaji kemungkinan penubuhan kerajaan perpaduan bersama mana-mana pihak.
Menurut Tuan Ibrahim, konsep tersebut telah dicadangkan sebelum ini oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai satu kuasa baharu dalam pendekatan politik.
“Antara UMNO-PAS ialah isu muafakat pembangkang yang ada dalam politik Malaysia. Muafakat ini adalah perkara bersama dimana kita berjuang dalam konsep bersama iaitu untuk rakyat.
“Ada perkara jadi persamaan yang kita perjuangkan secara bersama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mendengar ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Sabtu.
Ditanya sama ada kemungkinan kerajaan perpaduan itu berlaku, Tuan Ibrahim tidak menyatakan secara jelas.
Tuan Ibrahim hadir ke PAU2018 bersama beberapa lagi kepimpinan PAS iaitu Naib Presiden PAS, Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr. nik Mohamad Zawawi Nik Salleh.
Sementara itu, Tuan Ibrahim turut berkata kehadiran mereka ke PAU 2018 sebagai pembalasan kerana UMNO turut menyantuni Muktamar PAS pada 15 September lalu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengetuai rombongan bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan dua Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Datuk Seri Mahdzir Khalid ke Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus Terengganu.
Antara lain yang hadir ialah Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.
“Kami menerima jemputan dari UMNO dan kita memutuskan untuk hadir sebagai pembalasan kerana UMNO hadir pada Muktamar PAS baru-baru ini.
“Kita ucapkan terima kasih banyak-banyak. Ini merupakan pertama kali dalam sejarah UMNO dan ini sebagai lawatan balas,” katanya ringkas.