KOTA KINABALU, 15 Jun – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan operasi pemusnahan objek disyaki Unexploded Ordnance (UXO) di perairan Pulau Mamutik, Sabah selepas penemuan objek berkarat di dasar laut pada 9 Jun lalu.
Menurut Markas Pemerintahan Armada Timur, objek berukuran kira-kira 25 sentimeter itu ditemukan oleh seorang pemandu aktiviti snorkeling sebelum penemuan tersebut dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pengurusan Taman Tunku Abdul Rahman.
Penilaian awal mendapati objek berkenaan berpotensi sebagai bahan letupan lama yang masih boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan awam.
Susulan lokasi penemuan berada di kawasan perairan, tanggungjawab pelaksanaan operasi pemusnahan diserahkan kepada pasukan Explosive Ordnance Disposal (EOD) TLDM selaras dengan Operation Planning Committee (OPC) No. 8.
Operasi itu dilaksanakan melalui kerjasama Cawangan Selam Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) dan Depot Peluru dan Bahan Letupan Timur (DPBLT).
Pasukan EOD TLDM kemudian menjalankan penilaian teknikal secara menyeluruh sebelum melaksanakan prosedur pemusnahan terkawal mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Operasi khas tersebut diketuai oleh Komander Ts. Ahmad Firdaus bin Zakaria TLDM yang bertanggungjawab menyelaras setiap fasa operasi mengikut prosedur keselamatan serta piawaian EOD.
“Operasi tersebut berjaya disempurnakan dengan selamat, teratur dan tanpa sebarang insiden,” menurut kenyataan itu.
Markas Pemerintahan Armada Timur memaklumkan, kawasan perairan Pulau Mamutik kini disahkan selamat untuk aktiviti pelancongan, rekreasi marin dan pelayaran setempat.
Dalam masa sama, orang awam diingatkan supaya tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba memusnahkan sendiri sebarang objek mencurigakan yang ditemukan di laut.
Sebaliknya, maklumat mengenai penemuan objek seumpama itu perlu segera disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.-airtimes.my



