Home Pertahanan dan Keselamatan OSTEX East 2/2022 peraga kehadiran, keupayaan armada TLDM pertahan kedaulatan perairan negara

OSTEX East 2/2022 peraga kehadiran, keupayaan armada TLDM pertahan kedaulatan perairan negara

by M.Daim

SANDAKAN, 1 Sept – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan Eksesais OSTEX EAST 2/2022 selama 10 hari yang berakhir pada hari ini.

Acara penutup eksesais telah disempurnakan oleh , Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali di Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2), Sandakan.

Menurut beliau, eksesais ini menguji aset Armada Timur TLDM dengan merangkumi aspek People, Platform dan Process.

Eksesais OSTEX EAST 2/2022 merupakan serampang 2 mata buat TLDM – uji kesiagaan aset dan peragakan kehadiran dalam mempertahankan kedaulatan negara. Foto: Markas Pemerintahan Armada Timur TLDM

“Kompetensi warga the Navy People, kesiagaan kapal di Armada Timur dan protokol operasi serta logistik juga perlu ditambahbaik untuk kekal relevan dan efisien,” kata Panglima Armada Timur dalam ucapan penutup eksesais.

Sementara itu, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur) TLDM dalam satu kenyataan berkata, latihan yang dilaksanakan semenjak 23 Ogos lalu merupakan eksesais tahunan yang utama bagi menguji kecekapan anggota TLDM serta kesiagaan aset Armada Timur dalam mempertahankan zon perairan Sabah dan Sarawak.

“Siri eksesais ini dilaksanakan dengan misi menyediakan angkatan laut yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim,

“Ia juga turut bertujuan mempertingkatkan kemahiran warga dalam aspek navigasi, ilmu kelautan dan peperangan.

“Umpama serampang dua mata, OSTEX EAST 2/2022 turut memperagakan kehadiran aset-aset TLDM di Zon Maritim Malaysia terutamanya di perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu,” kata kenyataan itu.

OSTEX EAST 2/2022 merupakan penglibatan sulung Helikopter Operasi Maritim (HOM) dalam eksesais TLDM. Foto: MPA Timur TLDM

Menurut MPA Timur, eksesais sebegini akan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan peranan TLDM ketika aman iaitu menyediakan angkatan yang kompeten dan siaga.

“Mengambil semangat bulan kemerdekaan, penzahiran semangat kepahlawanan dan patriotisme ini dapat disaksikan dengan kejayaan pelaksanaan eksesais serta peningkatan kecekapan warga the Navy People yang sentiasa ikhlas berjuang melindungi kedaulatan dan keselamatan maritim Malaysia,” katanya.

Eksesais OSTEX EAST 2/2022 melibatkan pelbagai aktiviti yang merangkumi siri peperangan permukaan, manuvra taktis, penembakan sasaran permukaan statik, latihan menggeledah, latihan menunda, pemindahan tali ringan dan pendaratan helikopter di kapal.

Helikopter Operasi Maritim (HOM) yang baharu diperolehi turut melakukan penyertaan sulung dalam siri eksesais TLDM.

Acara penutup eksesais OSTEX EAST 2/2022 disempurnakan oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali di Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2). Foto: MPA Timur

“HOM dilihat mampu menggandakan lagi keupayaan aset udara TLDM terutamanya di Armada Timur,” kata MPA Timur.

Latihan ini melibatkan 11 buah kapal TLDM iaitu KD SELANGOR, KD PERAK, KD KELANTAN, KD SUNDANG, KD BADIK, KD RENCONG, KD GANAS, KD BAUNG, KD TODAK dan KD JERONG.

Eksesais ini dirasmikan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pada 23 Ogos oleh Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Sazalee Shoib.

OSTEX EAST 2/2022 terbahagi kepada fasa pelabuhan dan fasa laut.

Dalam fasa pelabuhan, antara aktiviti yang dilaksanakan adalah taklimat eksesais, perbincangan operasi di antara pegawai operasi kapal, latihan praktikal di pelabuhan dan taklimat sebelum pelayaran.

Jelas MPA Timur, Fasa Laut merupakan medan latihan sebenar kepada kru kesemua 11 buah kapal TLDM yang terlibat dalam eksesais ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply