KUALA LUMPUR, 29 JAN – Lumut Naval Shipyard (LUNAS) akan dikunjungi delegasi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi melihat perkembangan mutakhir projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) TLDM.
Delegasi PAC ini diketuai Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Ini merupakan lawatan ketiga PAC tersebut ke tapak projek setelah kali terakhir pada tahun 2024.
Difahamkan lawatan pada Jumaat ini adalah susulan kepada prosiding terdahulu berkaitan projek kapal berkenaan.
Menerusi lawatan, delegasi PAC dapat melihat sendiri perkembangan sebenar projek di lapangan, selain menilai maklumat dan laporan yang diterima sebelumnya.
Berdasarkan maklumat, delegasi akan diberi penerangan tentang kemajuan kapal-kapal LCS termasuk kapal ketiga, SHARIF MASHOR yang bakal dilancarkan pada 10 Februari nanti.
Bagaimana pun, lawatan delegasi ini difahamkan tiada kaitan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin berhubung status LCS 1, MAHARAJA LELA yang mengalami sedikit anjakan jadual.
Beliau semalam memaklumkan, pentauliahan MAHARAJA LELA terpaksa dijadualkan semula daripada Ogos kepada Disember 2026.
Antaranya berpunca kelewatan penghantaran peralatan pengeluar peralatan asal (OEM) dan kerja-kerja semula pemasangan perpaipan dan kabel susulan teguran daripada Naval Group

Lawatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dilakukan dari semasa ke semasa. Gambar menunjukkan delegasi PAC melawat ke LUNAS pada tahun 2023. /Gambar: Twitter Datuk Mas Ermieyati
Keadaan ini telah menyebabkan projek LCS 1 mengalami kelewatan selama empat bulan.
Percubaan laut yang sepatutnya dibuat pada Oktober tahun lepas tidak dimulakan.
Sebaliknya, lawatan PAC ke LUNAS telah dimaklumkan oleh Mas Ermieyati dalam satu kenyataan media pada Jumaat lepas.
Dalam kenyataannya, Mas Ermieyati memberitahu PAC sebelum ini menangguhkan lawatan susulan ke Lumut berikutan beberapa perkara teknikal yang memerlukan penambahbaikan.
Ia juga mengambil kira tempoh serta tarikh akhir tertentu projek berkenaan.
Ini adalah sebahagian daripada pemantauan berterusan PAC terhadap projek LCS bagi memastikan laporan kemajuan dilaporkan dengan tepat.
Secara keseluruhannya, PAC bertindak sebagai pemerhati bebas bagi memastikan projek LCS yang bernilai berbilion ringgit diuruskan dengan betul.
Selain Mas Ermieyati, PAC dianggotai Wong Shu Qi (PH-Kluang) sebagai Naib Pengerusi.
Jawatankuasa ini dianggotai 12 Ahli Parlimen, termasuk Syahredzan Johan, Vivian Wong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, dan wakil daripada PH, BN, GPS, dan PN, yang dilantik pada Mei 2023. – airtimes.my
