KUALA LUMPUR, 23 Jun – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melakarkan sejarah tersendiri apabila melancarkan siri nombor pendaftaran khas kenderaan iaitu ‘UT’, hari ini.
UPNM dalam hantaran di media sosialnya berkata, penggunaan nombor pendaftaran ‘UT’ yang membawa maksud Universiti Tentera di mana ia simbolik kepada UPNM sebagai Universiti Pertahanan premier di dalam negara ini.
“UT dan UPNM adalah sinonim dan pasti mengimbau kenangan alumni dengan menunjukkan rasa bangga dan kecintaan kepada UPNM,
“Nombor pendaftaran ini juga terbuka kepada orang awam,” katanya.
Menurutnya, Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM Holdings Sdn Bhd, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud TUDM (Bersara) telah melancarkan siri nombor pendaftaran khas di Foyer Bangunan Canselori, UPNM, hari ini.
“Inisiatif mengadakan nombor pendaftaran khas UPNM ini merupakan susulan hasrat kerajaan menerusi Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri,
“Ia juga bertujuan untuk menyumbangkan dana tambahan dalam pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UPNM,” ujarnya.
Mengulas lanjut, UPNM berkata, sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah dilaksanakan di antara UPNM Holdings Sdn Bhd dan Aquatwo Sdn Bhd bagi kerjasama pemasaran dan penjualan plat khas ‘UT’.
“Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.utplat.com.my untuk makluman selanjutnya,
“Tender pembelian nombor pendaftaran akan bermula pada 20 Julai 2022 sementara pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju pada 15 Ogos 2022,” jelasnya.
Turut hadir, Naib Canselor, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif UPNM Holdings Sdn Bhd, Anuar Syamsi Md Yasin dan Ketua Pengarah Eksekutif Aquatwo Sdn Bhd, Datuk Muqharabbin Mokhtaruddin. – airtimes.my