KUALA LUMPUR, 14 JUL – Kementerian Pertahanan meneruskan pembayaran Penghargaan Khas Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebanyak RM500 secara sekali bayar kepada semua penerima yang layak menerusi pelaksanaan tiga fasa.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan telah bersetuju memperuntukkan keseluruhan RM60 juta bagi tujuan itu, yang disalurkan secara berperingkat kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
Menurut Khaled, pembayaran Fasa Pertama telah selesai dilaksanakan pada Mac lalu melibatkan 30,000 penerima dengan peruntukan RM15 juta.
“Seterusnya, Fasa Kedua yang bermula pada 21 Mei 2026 melibatkan 75,000 penerima dengan peruntukan RM37.5 juta. Bagi Fasa Ketiga, pembayaran akan disalurkan kepada baki penerima sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kerajaan,” kata Khaled.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor, yang meminta Menteri Pertahanan menyatakan jangkaan kementerian menyelesaikan pemberian khas secara sekali bayar kepada semua veteran ATM yang menerima Pingat Jasa Malaysia.
Menurut Khaled, bagi memastikan kelancaran pembayaran kepada baki penerima, JHEV ATM sedang melaksanakan semakan data penerima secara berterusan.
Katanya, jabatan itu turut menghubungi serta mengingatkan penerima supaya mengemas kini maklumat peribadi dari semasa ke semasa dan memastikan akaun bank sentiasa aktif.
Pada masa sama, JHEV ATM turut bekerjasama dengan persatuan veteran bagi memastikan tiada penerima yang layak tercicir daripada menerima penghargaan khas tersebut.
Pelaksanaan pembayaran secara berperingkat itu bertujuan memastikan penghargaan khas kepada penerima Pingat Jasa Malaysia dapat disalurkan secara teratur dan menyeluruh kepada semua veteran yang layak. – airtimes.my
