WASHINGTON, 11 Feb – Tentera Udara Amerika Syarikat telah menembak jatuh satu objek yang tidak dikenali di ruang udara perairan Alaska, hari ini.
Menurut Pentagon, operasi memintas dan menembak jatuh objek berkenaan telah dilakukan dengan menggunakan sebuah pesawat F-22A Raptor.
“Objek terbabit terbang pada ketinggian 40,000 kaki dan memberikan ancaman keselamatan kepada penerbangan awam,” kata Setiausaha Akhbar Pentagon, Brigedier Jeneral Pat Ryder dalam satu taklimat media.
Walaubagaimanapun, Pentagon tidak menyatakan sama ada objek yang ditembak jatuh dengan AIM-9X adalah belon atau sebaliknya.
“Kita belum mempunyai perincian mengenai objek tersebut termasuk keupayaan, tujuan dan pemilik negara asal,
“Objek tersebut sebesar kereta tetapi amat berbeza dari segi saiz dan bentuk belon beraltitud tinggi yang ditembak jatuh pada 4 Februari lalu,” katanya.
Menurut beliau, objek terbabit telah dikesan oleh radar dan sebuah jet pejuang telah dihantar untuk mengesan dan mengenal pasti objek terbabit.
“Objek terbabit telah memasuki ruang udara Amerika Syarikat pada 9 Februari lalu. Jet pejuang telah dihantar untuk mengenal pasti dan menilai keadaan semasa,” kata Pat.
Tambahnya, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengarahkan objek terbabit untuk ditembak jatuh.
“Keputusan dibuat kerana ia memberikan ancaman keselamatan kepada laluan penerbangan awam. Presiden telah memberikan arahan untuk menembak jatuh objek terbabit,” katanya.
Kejadian yang berlaku di Alaska baru-baru ini merupakan kali kedua buat Amerika Syarikat untuk menembak jatuh objek asing yang memasuki ruang udara mereka. – airtimes.my