TOKYO, 29 Jun – Airbus telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kawasaki Heavy Industries bagi meneroka pembangunan varian peperangan antikapal selam U950 Eurodrone khusus untuk Jepun.
Di bawah MoU tersebut, Airbus dengan kerjasama Kawasaki Heavy Industries akan menganalisis peluang untuk membangunkan varian Jepun bagi Eurodrone, yang juga merupakan Sistem Pesawat Kawalan Jauh (RPAS) Jarak Jauh berketahanan tinggi (Large Long Endurance) pertama di Eropah. Jepun memegang status pemerhati dalam program Eurodrone sejak 2023.
Menurut Airbus, Eurodrone amat sesuai untuk negara seperti Jepun yang perlu memantau kawasan maritim yang luas. Berbanding pesaing terdekatnya, Eurodrone memiliki daya ketahanan penerbangan yang sangat panjang dan mampu terbang dengan muatan misi yang lebih besar, termasuk sonobuoy dan torpedo untuk peranan peperangan antikapal selam.
Melalui platform tanpa pemandu yang sangat efisien itu, Jepun berpotensi melengkapkan armada peperangan antikapal selam beranggota sedia ada, sekali gus memperkukuh keselamatan maritimnya secara berdaulat dan mampan.
Sebagai langkah seterusnya, Airbus akan mengadakan perbincangan dengan Kawasaki Heavy Industries untuk membangunkan pilihan reka bentuk, pembangunan, dan pengkomersialan varian maritim Eurodrone Jepun pada masa depan.
Perbincangan itu merangkumi penetapan konfigurasi yang berkemungkinan, integrasi penderia (sensor) dan efektor Jepun, serta potensi penglibatan industri negara itu dalam pengeluaran dan sokongan penyelenggaraan. Semua ini bertujuan memastikan Jepun dapat mengoperasikan Eurodrone secara berdaulat dan tanpa sekatan sekiranya negara itu memutuskan untuk memperoleh RPAS berkenaan.
Airbus menyatakan, kolaborasi bersasar dengan Jepun itu dijangka memperkukuh program Eurodrone, selain memperdalam kerangka strategik inisiatif pertahanan antara Eropah dan Jepun.
Selain itu, input yang diperoleh daripada pembangunan varian khusus Jepun itu dijangka memberi kelebihan operasi dan logistik yang ketara kepada varian maritim Eurodrone untuk kegunaan tentera laut Eropah pada masa depan.
Eurodrone merupakan program empat negara melibatkan Jerman, Perancis, Itali dan Sepanyol, yang diketuai oleh Pertubuhan Kerjasama Persenjataan Bersama (OCCAR). Program itu kini sedang dalam fasa pembangunan dan dijadualkan melakukan penerbangan sulungnya pada 2029. India turut memegang status pemerhati dalam program berkenaan.
Eurodrone berupaya melaksanakan pelbagai spektrum misi meliputi risikan bawaan udara, pengawasan, pemerolehan sasaran dan peninjauan, sehinggalah kepada amaran awal dan risikan isyarat, serta rondaan maritim dan peperangan antikapal selam.
Platform itu mampu membawa muatan misi sehingga 2.3 tan (tidak termasuk bahan api) dan boleh beroperasi di udara sehingga 40 jam. Menurut Airbus, ia akan diintegrasikan sepenuhnya dalam ruang udara awam dan disokong oleh tahap keselamatan serta kelewahan (redundancy) yang tinggi, menjadikannya ideal untuk dioperasikan di kawasan laut terbuka.
