KUALA LUMPUR, 14 OKT – Kementerian Luar Negeri masih lagi menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat berkenaan Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Nota Diplomatik yang diterima itu tidak mempunyai tera air (watermark) seperti kebiasaannya.
“Kebiasaannya dokumen kita ada watermark tetapi bila kita dapat dokumen itu tiada watermark.
“Kalau di peringkat kita mesti ada watermark, jadi kita akan jalankan siasatan sama ada ianya dikeluarkan oleh pihak selain kedutaan atau pihak daripada peringkat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Tumpat, Muntaz Md Nawi berhubung dakwaan kebocoran dokumen diplomatik di Dewan Rakyat, pada Isnin.
Selain itu, Mohamad Hasan turut menegaskan bahawa dokumen seperti itu seharusnya menjadi dokumen awam.
September lalu, Kementerian Luar Malaysia telah menjalankan siasatan dalaman dan membuat laporan polis berhubung kebocoran Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar China kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pihak memandang serius terhadap kebocoran dokumen berkenaan yang merupakan saluran komunikasi rasmi antara kedua-dua negara. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #Diplomatik