KANO, 18 Feb – Sekurang-kurangnya lima orang awam maut dalam pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria, kata penduduk tempatan dan anggota awam militia.
Memetik laporan AFP, insiden berlaku di bandar Buni Yadi di negeri Yobe, semalam dalam serangan di mana tentera menyatakan bahawa lima militan dan empat tentera dilaporkan turut terbunuh.
Jurucakap tentera Sagir Musa berkata, lima militan cuba merampas sebuah pangkalan tentera di Buni Yadi kira-kira jam 6 petang semalam waktu tempatan.
Sementara itu, sumber keselamatan di bandar berkata pada masa yang sama, serangan turut berlaku ke atas kedudukan tentera di Gajibo dan Gajiganna di utara ibu negeri Borno, Maiduguri.
Seorang penduduk tempatan di Buni Yadi, Aisami Lawan memberitahu AFP bahawa penyerang tiba kira-kira jam 5.30 petang dan pertempuran berlangsung lebih dua jam.
Sejak kebelakangan ini, gelombang serangan sering terarah di kawasan Buni Yadi yang terletak bersempadan dengan negeri Borno.