KUALA LUMPUR, 2 Dis – Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi ini menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Kenderaan dinaiki Anwar dilihat memasuki pekarangan istana melalui Pintu 1 pada jam 8.22 pagi.
Selepas sesi menghadap hampir sejam, dia kemudian beredar meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira jam 9.15 pagi.
Anwar dijadualkan turut menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta pada jam 10 pagi.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat. – Bernama