SIBU, 13 Ogos – Penubuhan Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu diharap dapat meningkatkan minat anak Sarawak untuk menyertai tentera laut.
Ketua Tim Nukleus MAWILLA 4, Komander Mohd Rahmat Abdul Rahman berkata, mereka boleh memohon menyertai tentera laut bukan sahaja sebagai anggota tetap tetapi sebagai anggota simpanan.
“Salah satu tujuan utama penubuhan Markas Wilayah Laut 4 ini adalah untuk menarik minat lebih ramai anak-anak Sarawak menyertai tentera laut,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesepuluh Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia (PBTLDM) Cawangan Negeri Sarawak, semalam.
Menurut Rahmat, mereka turut merancang untuk mewujudkan satu pasukan simpanan TLDM di Bintulu, yang akan menjadi unit pasukan simpanan pertama di negeri ini.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai yang berminat menyertai tentera laut untuk memohon, sama ada sebagai anggota tetap atau simpanan.
Menyentuh mengenai pengambilan anak Sarawak yang dikatakan kurang dalam TLDM, Rahmat berkata jumlah terbabit tidak kurang tetapi pada paras normal.
Beliau memberitahu, 600 hingga 700 anggota baharu diambil bagi setiap sesi pengambilan di seluruh negeri.
“Namun jika ada 2,000 pemohon dari Sarawak, kita tidak dapat ambil semua,” jelasnya sambil menambah proses pengambilan juga telah ditambah baik iaitu dengan menggunakan Internet.
Rahmat menjelaskan, pemohon yang tidak melepasi kelayakan asas iaitu dari segi akademik, berat badan, jisim dan BMI, akan ditolak serta-merta.
Oleh itu katanya, mereka yang sampai ke peringkat akhir pemilihan atau layak tinggal beberapa orang sahaja.
“Ini yang menjadi Prosedur Operasi Standard (SOP) kita sekarang yang harus kita ikut,” tegas beliau.
Hadir sama pada mesyuarat ialah Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Cawangan Negeri Sarawak Kapten Farizal Hasim, Timbalan Presiden PBTLDM Kebangsaan merangkap YDP PBTLDM Sarawak Thomas Ling dan Naib Presiden PBTLDM Kebangsaan merangkap YDP PBTLDM Negeri Melaka Bakar Jamal.
-Utusan Borneo Sarawak

Menurut kenyataan Markas Tentera Laut, fasa reka bentuk LMS telah selesai dan kini memasuki fasa pembinaan kapal keseluruhannya yang mengambil tempoh kurang 18 bulan termasuk proses pemasangan peralatan dan sistem kapal serta aktiviti ujian di pelabuhan dan di laut.
Upacara First Steel Cutting (FSC), simbolik bermulanya fasa pembinaan kapal sejurus selesai reka bentuk, bagi LMS TLDM yang pertama dilaksanakan di Wuchang Shipbuilding Industrial Group (WSIG), Shuangliu, China.
Kerjasama dengan negara China selaku peneraju dalam bidang itu mampu meningkatkan keupayaan negara untuk menjadi pengeluar kapal perang yang kompetitif di rantau ini, selain meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi negara menerusi penglibatan syarikat tempatan dan antarabangsa.
