SINGAPURA, 5 FEB – Pameran Udara Singapura (Singapore Airshow) 2026 menyaksikan ST Engineering menampilkan dominasi teknologi pertahanan masa hadapan dengan memperkenalkan sistem operasi gabungan manusia dan mesin atau Manned-Unmanned Teaming Operating System (MUMTOS) sebagai taruhan utama mereka tahun ini.
Sistem ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma dalam doktrin peperangan moden yang membolehkan aset tanpa pemandu (dron) beroperasi secara taktikal bersama aset berawak melalui sistem perintah dan kawalan yang dipacu oleh Kecerdasan Buatan (AI).
Beroperasi di pavilion seluas 2,000 meter persegi, ST Engineering yang merupakan pempamer terbesar acara ini memfokuskan kepada penyelesaian yang bukan hanya bersifat konsep, tetapi bersedia untuk dioperasikan dalam persekitaran konflik sebenar. Tumpuan utama diberikan kepada integrasi AI Cockpit pada kenderaan tempur infantri Terrex s5 8×8 dan kenderaan darat tanpa pemandu (UGV) TAURUS.

Sistem AI Cockpit ini berfungsi sebagai pembantu suara tempur yang mampu mempercepatkan proses membuat keputusan di medan perang, sekali gus mengurangkan beban kognitif kru tempur ketika situasi kritikal.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Teknologi & Inovasi) ST Engineering, Mervyn Tan berkata, pameran kali ini adalah bukti keupayaan teknologi syarikat itu yang telah matang dan bersedia untuk digunakan oleh pelanggan.
”Singapore Airshow adalah medan pembuktian kami, di mana kami mendemonstrasikan penyelesaian dan teknologi yang berfungsi pada skala sebenar untuk memberikan nilai nyata kepada pelanggan kami.
”Tahun ini, kami menonjolkan AI, teknologi autonomi dan platform digital selamat yang sudah pun berkhidmat untuk pelanggan kami, mempercepatkan proses membuat keputusan dan mengukuhkan daya tahan operasi merentasi pelbagai domain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain aspek darat, ST Engineering turut mempamerkan EagleStrike, sebuah peluru berlegar (loitering munition) generasi baharu. Aset ini dilengkapi dengan dwi-mod muatan termaju yang mampu melaksanakan misi serangan tepat di luar jarak penglihatan (beyond line-of-sight) terhadap sasaran bernilai tinggi, memberikan fleksibiliti taktikal yang lebih besar kepada komander di lapangan.

Bagi aspek perhubungan taktikal, sistem pautan data GEMINI-X turut diperkenalkan. Sistem ini direka untuk menghubungkan pelbagai platform termasuk pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter untuk beroperasi sebagai satu angkatan bersepadu dengan rangkaian perintah dan kawalan di darat.
Dalam sektor logistik udara, syarikat itu melancarkan DrN-600, sebuah sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) kargo lif sederhana. Dibangunkan bersama rakan kongsi dari Amerika Syarikat, AIR Inc., dron ini mampu membawa muatan sehingga 100 kilogram dengan jarak operasi melebihi 70 kilometer, menyasarkan penyelesaian kepada cabaran logistik sukar.
Pameran kali ini juga memperlihatkan penglibatan ST Engineering sebagai rakan pengasas Sidang Kemuncak Angkasa 2026 (Space Summit 2026), di mana mereka mempamerkan satelit terkini yang sedang dibangunkan serta penyelesaian geospasial termaju untuk pemantauan iklim dan keselamatan – airtimes.my
