Pada awal pagi 3 Januari 2026, dunia dikejutkan dengan berita yang mengubah sejarah Amerika Latin dalam sekelip mata. Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, telah dibawa keluar dari pusat pertahanan utamanya di Fort Tiuna oleh pasukan elit Amerika Syarikat menerusi satu operasi yang dinamakan Operation Absolute Resolve.
Walaupun tajuk utama akhbar dunia memuji ketangkasan operator darat Delta Force, kejayaan sebenar misi ini bergantung pada satu elemen yang bergerak di bawah radar. Elemen ini dikenali sebagai Rejimen Penerbangan Operasi Khas ke-160 (Udara) atau lebih dikenali dengan gelaran keramat: “The Night Stalkers”.
Hantu di Ruang Udara Caracas
Operasi di Caracas bukanlah satu kebetulan, sebaliknya merupakan hasil perancangan teliti sejak Disember 2025. Fasa pelaksanaannya menjadi demonstrasi ngeri terhadap keupayaan penguasaan ruang udara.
Pada jam 02:00 pagi (waktu tempatan), Komand Siber AS (US Cyber Command) berjaya melumpuhkan grid elektrik Caracas. Keadaan ini bukan sekadar untuk menjadikan ibu kota Venezuela bergelap, tetapi bertujuan memberikan kelebihan mutlak kepada juruterbang 160th SOAR yang menggunakan Gogal Pandang Malam (NVG).
Armada helikopter ini tidak terbang seperti pesawat biasa. Dengan menggunakan teknik Nap-of-the-earth (NOE), helikopter MH-47G Chinook dan MH-60M terbang serendah 100 kaki, menyelinap di celah bangunan dan bukit untuk mengelak dikesan oleh radar pertahanan udara S-300VM milik Venezuela.
Peranan varian MH-60 Direct Action Penetrator (DAP) amat kritikal. Berbeza dengan helikopter Black Hawk biasa, DAP ialah sebuah pesawat tempur (gunship) terbang yang sarat dengan meriam 30mm dan roket. Dalam operasi ini, ia bertindak “membersihkan” laluan dengan memusnahkan ancaman darat sebelum pasukan penggempur mendarat.
Sebaik sahaja sasaran berjaya ditawan, helikopter gergasi MH-47G Chinook melaksanakan tugas utamanya, iaitu membawa keluar “kargo berharga” tersebut ke kapal USS Iwo Jima yang menunggu di perairan.
Dari Debu Kegagalan ke Puncak Dunia
Untuk memahami operasi 160th SOAR, sejarah unit ini perlu didalami. Unit ini tidak lahir daripada kejayaan; sebaliknya, mereka pernah bergelut dengan siri kegagalan yang memalukan.
Penubuhan 160th SOAR bermula selepas misi menyelamatkan tebusan AS di Iran (Operation Eagle Claw) gagal. Operasi yang dilancarkan pada era 1980-an itu menemui kegagalan akibat ribut pasir, yang menyebabkan ketidakupayaan juruterbang tentera laut untuk mengekalkan formasi. Lapan anggota tentera AS terkorban dalam nahas perlanggaran pesawat tersebut.
Ekoran daripada kegagalan itu, tentera AS menubuhkan unit khusus dengan satu matlamat, iaitu menguasai kegelapan di medan operasi. Penubuhan Night Stalkers bermula dengan Pasukan Petugas 158 pada tahun 1980. Setahun kemudian, pasukan ini diiktiraf sebagai unit rasmi dan diberikan penandaan sebagai Batalion Penerbangan ke-160.
Pasukan ini menggapai kejayaan dalam misi pertama mereka, Operation Urgent Fury di Grenada pada tahun 1983. Sejak itu, pasukan ini telah dikerahkan untuk melaksanakan pelbagai misi berisiko tinggi yang adakalanya meragut nyawa.
Antara misi yang menjadi sejarah pahit buat 160th SOAR termasuklah insiden Black Hawk Down 1993 (Operation Gothic Serpent) dan Operation Red Wings di Afghanistan pada tahun 2005.
Sebelum operasi penangkapan Maduro, nama 160th SOAR menjadi perhatian umum apabila pasukan ini dilaporkan terlibat dalam operasi serbuan terhadap kediaman Osama Bin Laden (Operation Neptune Spear).
Kejayaan 160th SOAR dalam Operation Absolute Resolve ini menyamai kecemerlangan yang pernah mereka capai di Panama. – airtimes.my
#AirTimes #Diskusi #NightStalkers #160thSOAR #OperationAbsoluteResolve #SpecialOperations #MH47G #USAirForce
































