Home DiskusiPaul Nyopis Ak Noyeat: Pahlawan Bidayuh menentang Komunis di Sarawak

Paul Nyopis Ak Noyeat: Pahlawan Bidayuh menentang Komunis di Sarawak

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Dalam lipatan sejarah tanah air, nama Paul Nyopis ak Noyeat berdiri sebagai lambang keberanian anak Bidayuh yang bangkit menentang ancaman komunis di Sarawak.

Beliau bukan sekadar seorang pejuang, tetapi wira yang mewakili semangat juang masyarakat peribumi dalam mempertahankan tanah kelahiran daripada ancaman ideologis yang mahu memecah-belahkan negara.

Kisahnya yang mencerminkan keberanian tanpa gentar, pengorbanan tanpa syarat serta tekad seorang pahlawan sehingga beliau dianugerahkan Pingat Gagah Berani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Awal perjuangan anak jati Sarawak

Paul Nyopis anak lelaki Noyeat dilahirkan pada tahun 1942 di Kampung Opar, Bau, Sarawak. Anak ketiga daripada sebuah keluarga petani ini merupakan antara ratusan anak jati Sarawak yang menyahut seruan ketenteraan oleh kerajaan pada era 1960-an.

Beliau memulakan karier sebagai tentera dengan mendaftarkan diri sebagai anggota Sarawak Border Scouts, di mana asas latihan separa ketenteraannya bermula bersama Batalion Pertama, Briged Gurkha Para Ke-10.

Sebelum akhirnya melangkah ke dunia ketenteraan sepenuhnya pada tahun 1966, beliau telah menyertai Batalion Ke-4 Rejimen Renjer dengan pangkat Koperal setelah menamatkan kursus NCO di Kem Suvla Lines, Ipoh.

Koperal Paul Nyopis bukan sekadar seorang anggota tentera biasa. Beliau ditugaskan sebagai anggota risikan bersama pegawai polis Cawangan Khas, beroperasi terus di barisan hadapan menentang komunis daripada Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) di daerah Bau, Sarawak.

Namanya cukup digeruni oleh pihak komunis kerana sering menggagalkan rancangan musuh dan menyukarkan pergerakan mereka. Pernah sekali beliau ditahan dan disoal siasat oleh komunis PARAKU, namun dilepaskan kembali apabila musuh gagal mengenali dirinya walaupun gambar yang mereka cari sebenarnya ialah Koperal Paul Nyopis sendiri.

 

Koperal Paul Nyopis anak lelaki Noyeat, wira Bidayuh penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) atas keberanian luar biasa menentang komunis di Bau, Sarawak. Foto Hiasan

Misi penyamaran di Tondong

Pengaruh komunis di daerah Tondong, Sarawak semakin menguat selepas ketiadaan kawalan polis yang terpaksa berundur akibat jumlah anggota komunis yang semakin bertambah.

Kesempatan itu digunakan oleh komunis untuk bermaharajalela, menakut-nakutkan penduduk dengan membunuh sesiapa sahaja yang dianggap pemberi maklumat, malah mereka sanggup membakar balai polis di Tondong pada Julai, 1972.

Kejadian ini membuatkan pihak polis yang diketuai Inspektor Anthony Hui Chez Liong yang merupakan ketua balai Bau, mula bertindak dengan mengatur anggota dan memohon bantuan dari Batallion ke-3 Pasukan Polis Hutan.

Koperal Paul Nyopis merupakan salah satu anggota yang terlibat di dalam operasi ini. Tanpa perasaan takut, beliau dan anggota lain telah diutus untuk menyelinap masuk ke daerah Tondong dan menyamar sebagai orang awam.

Selepas mengumpulkan maklumat dan laporan yang terperinci mengenai pergerakan komunis di daerah itu, pasukan keselamatan mula mengatur operasi yang lebih teliti untuk memasuki daerah Tondong.

Pertempuran menentang komunis

Setelah semua perancangan strategik dilakukan, Koperal Paul Nyopis yang berbekalkan senjata 9mm Browning dan juga senjata api Sterling bersama-sama dengan anggota yang lain bersiap sedia untuk masuk ke daerah Tondong pada pertengahan Julai, 1972.

Pada hari kejadian, 3 buah land rover, 3 buah trak dan sebuah kereta perisai telah diatur gerakkan menuju ke daerah Tondong. Koperal Paul Nyopis menaiki land rover ke-3 bersama beberapa orang anggota keselamatan yang lain.

Namun, perjalanan mereka menuju ke Tondong telah dinantikan oleh pihak komunis di pertengahan Jalan Sebatu bagi menyerang hendap anggota keselamatan itu.

Konvoi ketiga yang menjadi kenderaan Koperal Paul Nyopis telah dijadikan sasaran oleh pihak komunis selepas konvoi pertama dan kedua mendahului perjalanan itu. Pihak komunis melancarkan serangan ke atas mereka dengan tembakan bertubi-tubi tanpa berhenti.

Konvoi pasukan keselamatan sering berhadapan dengan serangan hendap komunis ketika melalui laluan hutan dan jalan terpencil pada era insurgensi. Foto Hiasan

Koperal Paul Nyopis terpaksa bergerak mencari tempat perlindungan bagi pertahanan diri, sebelum menyerang balik musuh selepas menyedari kedudukan antara musuh dengan beliau tidak terlalu jauh.

Walaupun terdedah kepada bahaya, beliau sempat memerhatikan keadaan sekeliling bagi mencari keberadaan ketua pasukan musuh yang mengetuai penyerangan komunis ke atas konvoi ini.

Selepas menjumpai keberadaan ketua platun komunis terbabit, Koperal Paul Nyopis segera melepaskan tembakan dari pistol 9mm Browning ke arah ketua komunis terbabit. Tembakan terbabit tepat mengenai sasaran dan berjaya membunuh ketua pasukan komunis itu.

Koperal Paul Nyopis meneruskan lagi perjuangan beliau dengan terus menembakan peluru ke aras pasukan komunis yang tersisa.

Dengan kehabisan kesemua peluru pistol 9mm Browning, beliau hanya mengandalkan senjata Sterling yang tersisa dan pengalaman untuk menentang musuh. Dikabarkan seramai 15 anggota komunis yang melakukan serangan kepada beliau ketika itu.

Koperal Paul Nyopis sempat menggunakan taktik untuk menakuti musuh dengan memberi arahan kepada Kompeni A dan Kompeni B untuk bergerak melakukan serangan. Wahal ketika itu, hanya beliau seorang sahaja yang masih bertahan di tempat itu.

Namun kudrat dan semangat “Agi Idup Agi Ngelaban” membuatkan beliau masih mampu bertahan menentang 15 anggota komunis yang terus menghujani peluru ke arah beliau.

Walaubagaimanapun, Koperal Paul Nyopis akhirnya terkena beberapa das tembakan oleh pihak komunis. Dengan kecederaan tersebut, beliau masih terus berjuang sehingga menyebabkan anggota komunis yang tersisa mula berundur kerana takut melihat semangat juang anak jati Sarawak itu.

Namun bantuan yang tiba tepat waktu daripada konvoi 1 dan 2 terus berjaya menewaskan saki baki anggota komunis yang melarikan diri sehingga tiada yang tersisa. Apabila keadaan sudah reda, Koperal Paul Nyopis segera dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Jasa dan penghargaan

Atas jasa dan keberanian yang diperlihatkan oleh Koperal Paul Nyopis anak lelaki Noyeat, beliau telah dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-5, Sultan Almu’tasimu Billahhi Muhibuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’ adzam Shah  pada 22 Mac 1975.

 

Anugerah itu menjadi pengiktirafan rasmi terhadap pengorbanan seorang anak jati Sarawak yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah air. Keberaniannya melawan ancaman komunis di barisan hadapan menjadikan beliau antara nama besar dalam senarai pahlawan negara yang tidak gentar menegakkan keamanan.

Legasi perwira

Sebagai satu-satunya penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) daripada komuniti Bidayuh, Koperal (Bersara) Paul Nyopis anak lelaki Noyeat telah menghembuskan nafas terakhir pada 22 Disember 2013 di Hospital Daerah Bau akibat komplikasi strok, pada usia 71 tahun.

Pemergiannya menutup sebuah bab perjuangan tetapi membuka legasi keberanian yang akan terus hidup dalam ingatan bangsa.

Walaupun tidak sepopular tokoh seperti Kanang Anak Langkau atau Rentap, kisah Paul Nyopis tetap membawa makna mendalam. Beliau membuktikan bahawa semangat juang dan pengorbanan seorang perwira tidak diukur pada sejauh mana namanya dikenali, tetapi pada darah, keringat dan nyawa yang ditinggalkan demi keselamatan bangsa.

Hari ini, legasi Paul Nyopis berdiri sebagai peringatan bahawa keamanan yang rakyat Malaysia nikmati bukan datang dengan mudah. Keamanan ini dibayar dengan keberanian luar biasa mereka yang sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Nama beliau wajar terus dikenang sebagai simbol keberanian bangsa Bidayuh dan sebahagian daripada warisan perjuangan nasional yang tidak pernah luntur.-airtimes.my

#AirTimes #PaulNyopis #PGB #Bidayuh #Sarawak #Komunis #PARAKU #PerwiraNegara #AgiIdupAgiNgelaban

Related Articles

Leave a Reply