BEIJING, 15 SEPT – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menghadiri Forum Xiangshan Beijing ke-12 yang berlangsung mulai 17 hingga 19 September. Ia merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi beliau ke Republik Rakyat China.
Forum keselamatan dan pertahanan utama Asia-Pasifik itu menghimpunkan lebih 100 delegasi negara dengan tema “Safeguarding the International Order and Promoting Peaceful Development Together”. Ia bertujuan menggalakkan dialog strategik dan membina keyakinan bersama antara negara peserta.
Khaled dijadualkan menyampaikan ucapan pada sesi plenari kedua forum bertajuk “Strategic Mutual Trust and Security Cooperation in the Asia-Pacific Region” pada Khamis. Ucapan tersebut akan menegaskan pendirian Malaysia terhadap keperluan memperkukuh kerjasama keselamatan serantau serta kepercayaan strategik di Asia-Pasifik.
Selain menyertai sesi pleno, Khaled turut dijadualkan mengadakan pertemuan bilateral dengan beberapa pemimpin utama China termasuk Menteri Pertahanan Nasional, Laksamana Dong Jun; Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Xu Xueqiang; dan Menteri Hal Ehwal Veteran, Pei Jinjia.
Beliau juga akan bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha, yang turut menghadiri forum berkenaan.
“Lawatan ini adalah peluang untuk Malaysia menyampaikan pendirian terhadap isu-isu keselamatan rantau serta memperkukuh hubungan pertahanan dengan China dan negara anggota ASEAN lain,” kata Khaled dalam akaun media sosial rasmi beliau.
Kehadiran Malaysia di forum ini menegaskan komitmen terhadap kerjasama keselamatan multilateral, khususnya dalam menangani cabaran bersama di Asia-Pasifik. – airtimes.my
