Home Teknologi PertahananLTAMDS: Radar generasi baharu A.S. gantikan radar Patriot lama

LTAMDS: Radar generasi baharu A.S. gantikan radar Patriot lama

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Radar pertahanan udara telah lama menjadi nadi kepada keupayaan sesebuah negara mempertahankan ruang angkasanya daripada ancaman musuh.

Sejak era 1980-an, Amerika Syarikat menonjol sebagai kuasa yang memiliki sistem radar pertahanan udara canggih, dengan Patriot dan radar AN/MPQ-65 yang menjadi simbol kekuatan ketenteraan di serata dunia.

Namun, peredaran zaman mengubah landskap peperangan moden yang dipenuhi dengan ancaman pelbagai jenis serangan udara menjadikan radar Patriot lama tidak lagi memadai, lalu mendorong Amerika Syarikat memperkenalkan Lower Tier Air and Missile Defense Sensor (LTAMDS).

Radar baharu dalam pertahanan udara A.S

Radar generasi baharu Lower Tier Air and Missile Defense Sensor (LTAMDS) merupakan sistem yang mula dibangunkan oleh Raytheon Technologies pada tahun 2018 di bawah program Middle-Tier Acquisition sebagai pengganti kepada radar AN/MPQ-65 dalam sistem Patriot.

LTAMDS direka bagi memenuhi cabaran keselamatan moden yang semakin kompleks, termasuk ancaman peluru berpandu balistik, peluru berpandu hipersonik, dron bersenjata dan pesawat pejuang generasi kelima yang mempunyai keupayaan siluman.

Tidak seperti radar terdahulu, LTAMDS menggunakan teknologi Active Electronically Scanned Array (AESA) berasaskan bahan semikonduktor gallium nitride (GaN) yang memberikan kuasa pancaran lebih tinggi, jangkauan lebih jauh, serta tahap kecekapan tenaga yang lebih baik.

Keupayaan ini membolehkan LTAMDS mengesan, menjejak dan menilai ancaman dari pelbagai arah dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan tindak balas sistem pertahanan udara.

Selain itu, LTAMDS dilengkapi dengan liputan 360 darjah, satu ciri yang tidak dimiliki radar AN/MPQ-65 yang terdahulu. Keupayaan liputan penuh ini menjadikan radar baharu ini lebih berkesan dalam melindungi kawasan kritikal daripada ancaman pelbagai vektor, terutamanya dalam senario peperangan moden di mana serangan boleh datang dari semua arah.

Penghasilan LTAMDS menandakan langkah penting Amerika Syarikat dalam memastikan kesinambungan dominasi sistem pertahanan udara mereka, di samping mengekalkan keserasian dengan sistem Patriot yang sedia ada.

Radar ini bukan sahaja direka untuk memenuhi keperluan Tentera Darat A.S., tetapi juga ditawarkan kepada negara-negara sekutu yang bergantung kepada sistem Patriot sebagai tulang belakang pertahanan udara mereka.

Evolusi daripada AN/MPQ-65 ke LTAMDS

Radar AN/MPQ-65 ialah elemen utama dalam sistem pertahanan udara Patriot PAC-3 yang digunakan secara meluas oleh Amerika Syarikat dan sekutunya.

Radar AN/MPQ-65, nadi utama yang pernah digunakan dalam sistem pertahanan udara Patriot, berfungsi sebagai mata elektronik untuk mengesan dan menjejak ancaman dari udara. Gambar Hiasan

Radar ini mula diperkenalkan pada awal 2000-an sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan kemampuan Patriot untuk menghadapi ancaman moden termasuk peluru berpandu balistik jarak pendek, peluru berpandu jelajah, serta pesawat berteknologi tinggi.

Berbeza dengan generasi terdahulu, AN/MPQ-65 menggunakan teknologi radar berfasa (phased-array) yang membolehkannya mengesan dan menjejak sasaran dengan lebih pantas dan tepat.

Selain itu, radar ini mampu melaksanakan fungsi pencarian, penjejakan, pengenalpastian, dan panduan peluru berpandu secara serentak. Keupayaannya untuk mengesan sasaran berkelajuan tinggi dalam pelbagai sudut menjadikannya aset kritikal dalam pertahanan udara bersepadu.

Kekuatan utama AN/MPQ-65 adalah dalam integrasinya dengan peluru berpandu PAC-3 yang direka khas untuk misi hit-to-kill terhadap peluru berpandu balistik.

Radar ini dapat mengesan sasaran kecil dengan jejak radar yang rendah, sesuatu yang mencabar untuk sistem pertahanan udara lama. Dari sudut operasi, ia juga mampu bekerja dalam persekitaran peperangan elektronik, menjadikannya lebih tahan terhadap cubaan gangguan atau pengacauan radar oleh pihak lawan.

Walaupun tidak memberikan liputan penuh 360 darjah seperti sistem radar generasi baharu seperti LTAMDS, AN/MPQ-65 tetap menjadi tulang belakang sistem Patriot dengan liputan sektor sekitar 120 darjah.

Konsep ini memberi tumpuan kuasa radar kepada sektor yang dianggap paling berisiko, dan dalam konfigurasi tertentu, beberapa radar boleh diatur bagi menutup kelemahan sudut buta.

Namun pada masa kini, dengan kemunculan teknologi baharu seperti peluru berpandu hipersonik yang bergerak lebih pantas dan dron kawanan yang menyerang dari pelbagai arah, had liputan 120 darjah pada radar lama menjadi kelemahan ketara.

LTAMDS hadir sebagai jawapan kepada jurang ini, dengan kemampuan liputan penuh 360 darjah dan kuasa pemprosesan lebih tinggi yang mampu mengendalikan ancaman pelbagai domain dalam masa nyata.

Dari prototaip ke pengeluaran

LTAMDS tidak sekadar diuji di makmal atau medan latihan tertutup tetapi ditempatkan dalam senario operasi yang hampir menyerupai pertempuran sebenar. Dalam setiap siri uji cuba, radar ini berhadapan dengan simulasi ancaman pelbagai spektrum termasuk peluru berpandu balistik, roket jarak jauh, dron kecil berkelajuan tinggi dan gangguan peperangan elektronik.

Keupayaan LTAMDS untuk mengekalkan prestasi pengesanan dalam keadaan sebegitu membuktikan bahawa sistem ini bukan sahaja dibina untuk memenuhi piawaian, malah untuk melangkaui jangkaan.

Setelah berjaya melepasi lapan ujian lapangan pada tahap kerumitan tertinggi, LTAMDS disahkan oleh Tentera Darat A.S telah mencapai pencapaian Milestone C pada 2024, sekali gus membuka jalan kepada fasa pengeluaran serta penempatan operasi.

Pengiktirafan ini menjadikan LTAMDS sebagai program rekod rasmi (program of record) Tentera Darat A.S. menegaskan peranannya sebagai teras sokongan utama dalam sistem pertahanan tanah air.

Pasukan tentera Amerika Syarikat sedang memuatkan pelancar peluru berpandu Patriot, simbol utama sistem pertahanan udara yang digunakan di pelbagai medan konflik global. Foto: U.S. Air Forces Central

Selain itu, Tentera Darat A.S. memanfaatkan kuasa Middle-Tier Acquisition yang diluluskan oleh Kongres bagi mempercepatkan pembangunan prototaip serta pengoperasian LTAMDS. Melalui pendekatan ini, Raytheon berjaya menyerahkan enam unit pertama LTAMDS kepada Tentera Darat A.S., selaras dengan kontrak yang dimeterai pada tahun 2019.

Mencorak kuasa udara dan ruang dalam geopolitik moden

Pembangunan LTAMDS tidak boleh dilihat hanya sebagai kemajuan teknologi semata-mata kerana ia turut mencerminkan persaingan geopolitik yang semakin ketara di peringkat global.

Radar baharu ini dibangunkan untuk menggantikan AN/MPQ-65, sekali gus memperkukuh keupayaan sistem Patriot menghadapi ancaman peluru berpandu balistik, peluru berpandu jelajah dan dron.

Dari sudut geopolitik, LTAMDS melambangkan usaha Amerika Syarikat mengekalkan dominasi sistem pertahanan udara bersepadu di tengah-tengah kebangkitan kuasa lain seperti Rusia dan China yang giat memodenkan sistem mereka.

Penawaran LTAMDS juga menambah nilai kepada diplomasi pertahanan Washington kerana ia menjadi komponen penting dalam rangkaian pertahanan kolektif NATO, selain berpotensi ditawarkan kepada sekutu utama di Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Dalam konteks ini, LTAMDS bukan sahaja sebuah radar tetapi juga instrumen strategik yang mengikat kerjasama ketenteraan, mengukuhkan pengaruh Amerika di rantau-rantau yang terdedah kepada ketegangan geopolitik, dan memberi mesej jelas mengenai keupayaan serta kesediaan negara itu menghadapi ancaman moden yang semakin kompleks.

Masa Depan Pertahanan Udara

Dengan keupayaan liputan penuh, teknologi AESA GaN, dan integrasi rapat bersama sistem Patriot, LTAMDS dilihat sebagai simbol transformasi pertahanan udara Amerika Syarikat.

Radar ini bukan sahaja menggantikan kelemahan AN/MPQ-65, tetapi juga menyediakan landasan kepada doktrin peperangan moden yang menuntut ketangkasan, kepantasan, serta keberkesanan dalam menghadapi ancaman pelbagai dimensi.

Peranan LTAMDS juga melangkaui sekadar fungsi radar tradisional kerana ia berfungsi sebagai nadi utama dalam konsep pertahanan berlapis. Keupayaannya menjejak dan menilai pelbagai ancaman secara serentak, daripada peluru berpandu balistik hipersonik hingga dron kecil berkelajuan rendah, menjadikan ia aset penting dalam memastikan kelebihan strategik kekal di pihak Washington.

Langkah ini jelas membuktikan bahawa radar baharu bukan sekadar pengganti, tetapi evolusi menyeluruh yang menentukan hala tuju pertahanan udara pada abad ke-21.

LTAMDS menjadi mesej bahawa Amerika Syarikat bersedia menyesuaikan strategi pertahanannya dengan perubahan landskap ancaman global, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa dominan dalam teknologi ketenteraan moden.-airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #LTAMDS #A.S #RadarSystem #AirDefence

Related Articles

Leave a Reply