Ketika Asia Selatan masih dalam proses meredakan konflik udara antara dua kuasa nuklear serantau, satu lagi api ketenteraan kembali menyala di Asia Tenggara.
Perbatasan Thailand dan Kemboja yang selama ini tegang akhirnya meledak kepada konflik bersenjata, menandakan kemuncak kepada siri insiden berdarah yang telah tercetus sejak penghujung Mei lalu.
Insiden ini bukan sekadar mencerminkan kegagalan diplomasi serantau, malah mengimbau semula sejarah panjang sengketa wilayah antara dua negara jiran yang dipisahkan oleh sempadan yang tidak pernah benar-benar dimuktamadkan.
Rentetan ketegangan dan kembalinya krisis sempadan
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja yang membara sejak Mei akhirnya meledak menjadi konflik bersenjata apabila seorang anggota tentera Kemboja terbunuh dalam insiden tembakan di kawasan sempadan berhampiran wilayah Preah Vihear Utara pada 28 Mei.
Tidak lama kemudian, pada 23 Julai, lima anggota tentera Thailand cedera dalam satu kejadian letupan periuk api, termasuk seorang yang kehilangan kaki, menjadikan suasana semakin tegang.
Pada pagi 24 Julai, segala amaran awal akhirnya menjadi kenyataan. Pertempuran dilaporkan melibatkan tembakan artileri dan senjata ringan di sekitar kawasan sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara ini.
Kedua-dua pihak juga dilaporkan menggerakkan unit taktikal sebagai tindak balas serta-merta, manakala keadaan penduduk awam di kawasan sempadan kekal tidak menentu. Tidak ada angka rasmi korban atau kerosakan yang disahkan setakat ini, tetapi insiden ini telah menandakan kebangkitan semula krisis sempadan yang sudah lama membayangi Asia Tenggara.
Preah Vihear sebagai punca utama pertikaian berpanjangan

Kuil purba di kawasan Dângrêk terus menjadi simbol pertikaian antara Thailand dan Kemboja, di sebalik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 1962 yang belum mengakhiri tuntutan bertindih terhadap kawasan sekitarnya. Gambar Hiasan
Sengketa antara Thailand dan Kemboja berakar daripada sejarah penjajahan serta pertindihan tuntutan ke atas beberapa lokasi warisan sejarah.
Kuil purba Preah Vihear yang terletak di atas tebing curam Dângrêk telah menjadi simbol utama konflik sejak dekad 1950-an.
Pada 1962, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa kuil itu terletak dalam wilayah Kemboja, tetapi keputusan tersebut tidak menamatkan pertikaian, terutama mengenai kawasan sekeliling yang tidak diperjelaskan oleh sempadan rasmi.
Beberapa konfrontasi ketenteraan telah berlaku sebelum ini, termasuk pertempuran sengit pada 2008 dan 2011 yang mengorbankan nyawa dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Walaupun terdapat usaha untuk meredakan konflik melalui rundingan dua hala dan campur tangan serantau, termasuk oleh ASEAN, kestabilan di kawasan ini kekal rapuh.
Pelbagai rundingan gencatan senjata yang diumumkan sebelum ini sering kali gagal bertahan lama, dan ketegangan mudah kembali meletus akibat sebarang insiden kecil di lapangan.
Penggunaan periuk api, pembinaan pos kawalan baharu dan pergerakan pasukan tentera yang mencurigakan sering mencetuskan ketakutan terhadap kembalinya konflik secara besar-besaran.
Kenyataan rasmi antara dua negara
Krisis sempadan yang tercetus pada pagi 24 Julai ini turut memperlihatkan pertikaman lidah diplomatik antara Bangkok dan Phnom Penh.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Luar Thailand mengutuk serangan artileri yang disasarkan ke atas hospital dan pos tentera, menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Sehubungan dengan itu, Bangkok memanggil kembali duta mereka dari Phnom Penh dan mendesak Kemboja melakukan perkara sama.
Sebaliknya, Kementerian Luar Kemboja pula mengeluarkan kenyataan balas yang mendakwa Thailand telah melancarkan serangan tanpa provokasi ke atas beberapa kawasan di wilayah Preah Vihear dan Oddar Meanchey, termasuk kuil warisan yang dilindungi.
Phnom Penh menyifatkan serangan itu sebagai satu pencerobohan dan menyeru Thailand agar segera menarik keluar pasukannya dari kawasan sempadan.

BM-21 antara aset yang dikerahkan oleh Pasukan Tentera Darat Kemboja berhampiran sempadan sebagai langkah tindak balas terhadap peningkatan ketegangan dengan Thailand. Gambar Hiasan
Kedua-dua negara kini saling menyalahkan antara satu sama lain, masing-masing mendakwa bertindak demi mempertahankan kedaulatan.
Namun, kenyataan rasmi dari kedua-dua kementerian luar ini jelas mencerminkan hakikat bahawa konflik sempadan yang telah lama membara kini telah meletus ke tahap yang lebih serius.
Mekanisme serantau ASEAN diperlukan
Konflik ini turut mencetuskan semula persoalan mengenai keberkesanan mekanisme serantau dalam menangani isu sempadan yang melibatkan negara anggota ASEAN.
Meskipun Piagam ASEAN menekankan prinsip tidak campur tangan dan penyelesaian secara damai, pelaksanaan diplomasi pencegahan masih terbatas, sekali gus membuka ruang kepada konflik untuk terus memburuk tanpa kawalan yang bermakna.
Usaha terdahulu seperti penggunaan saluran diplomatik, misi pemerhati dan pelantikan perantara bebas gagal membendung pertempuran yang tercetus dalam insiden serupa sebelum ini.
Di sebalik pertempuran, krisis sempadan ini turut memberi kesan langsung kepada ribuan penduduk awam yang tinggal berhampiran zon pertikaian.

Kebakaran tercetus di sebuah premis komersial berhampiran zon sempadan susulan insiden tembakan artileri pada 24 Julai, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan awam di kawasan konflik. Foto X: Thai Royal Army
Laporan awal menyebut pemindahan sementara beberapa kampung di wilayah Oddar Meanchey dan Sisaket, dengan penduduk diminta berlindung di pusat pemindahan sementara yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Ketegangan keselamatan yang berlarutan juga dilaporkan menjejaskan operasi sekolah serta pusat ekonomi kecil di kawasan terlibat.
Konflik lama dalam lanskap geopolitik baharu
Krisis ini kini berlaku dalam konteks geopolitik serantau yang semakin kompleks.
Kebangkitan semula konflik lama antara Thailand dan Kemboja berlaku dalam suasana ketegangan keselamatan yang semakin meningkat di Asia Tenggara, termasuk isu Laut China Selatan, ketegangan di sempadan Myanmar serta perlumbaan persenjataan antara beberapa negara ASEAN.
Konflik ini berisiko menarik perhatian kuasa besar serantau yang mempunyai hubungan strategik dengan Bangkok dan Phnom Penh, sekali gus menjadikannya medan ujian kepada keupayaan ASEAN dalam mengelakkan pergolakan ketenteraan.
Buat masa ini, tiada tanda jelas bahawa konflik akan reda dalam masa terdekat. Rundingan antara wakil diplomatik kedua-dua negara dijangka berlangsung dalam beberapa hari mendatang, tetapi sejarah sebelum ini menunjukkan bahawa sebarang penyelesaian jangka pendek tidak menjamin kestabilan jangka panjang.
Selagi sempadan yang kabur dan warisan sejarah yang dipertikai tidak diselesaikan secara konkrit, krisis seperti ini berpotensi untuk meledak semula pada bila-bila masa.-airtimes.my
#AirTimes #Diskusi #KonflikSempadan #ASEAN #AsiaTenggara #SempadanThailandKemboja