TAIPING, 26 Apr – Lapangan Terbang Tekah hari ini, digegarkan dengan deruman enjin pesawat dan dentuman tembakan serta bahan letupan.
Umpama berada di medan perang, musuh berjaya mara dan menawan Terminal Lapangan Terbang Tekah untuk dijadikan Pangkalan Operasi Hadapan (Forward Operating Base, FOB) dan hab logistik utama ke zon pertempuran.
Berdasarkan penilaian ancaman dan keperluan taktikal, Pasukan Gerup Gerak Khas (GGK) telah ditugaskan untuk melaksanakan misi khas dengan objektif utama menyelamatkan tawanan perang serta memusnahkan infrastruktur stategik musuh.
Tim Tinjau Udara, Tim Tinjau Jarak Jauh, Tim Intip dan Tim Sniper telah diaturgerak bagi melaksanakan tinjauan rapat serta pemerhatian ke atas aktiviti musuh.
Serangan dimulakan dengan kaedah serangan mengejut dan Gerak Khas dari pesawat MD 530 G serta disusuli kumpulan serbuan.
Elemen kejutan dan kelajuan dari tim ini diperlukan bagi melumpuhkan keupayaan musuh dalam masa yang singkat.
Setelah sasaran dapat dikuasai, kumpulan penggempur melaksanakan pengeledahan bagi menentukan tiada ancaman saki baki musuh yang akan bertindak balas.
Dalam masa yang sama, kumpulan letupan akan memasang bahan letupan di tempat-tempat yang dikenal pasti bagi memusnahkan serta melumpuhkan keupayaan ketumbukan musuh.
Setelah semua bahan letupan dipasang dan tawanan diselamatkan, pasukan berundur dengan pantas ke tempat pertemuan yang telah dirancang untuk penarikan keluar dengan menggunakan pesawat udara dan SOV.
Senario sedemikian merupakan demontrasi menyelamat tawanan perang oleh Penuntut Kursus Asas Komando Siri AK/1/2025 dan dibantu pasukan-pasukan GGK.

Seramai 3 pegawai dan 35 anggota telah dianugerahkan beret hijau dan pisau komando selepas menempuh pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental sejak 3 Februari lalu. Foto: AirTimes
Seramai 38 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya membuktikan kelayakan mereka apabila menamatkan Kursus Asas Komando pada hari ini.
Kesemua anggota yang terdiri daripada 3 pegawai dan 35 anggota telah dianugerahkan beret hijau dan pisau komando selepas menempuh pelbagai cabaran yang menguji ketahanan fizikal dan mental sejak 3 Februari lalu.
Upacara penganugerahan berkenaan disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab.
Dalam ucapannya, Ahmad Shuhaimi berkata, daripada 208 anggota yang terdiri daripada 7 pegawai dan 201 anggota, hanya 3 pegawai dan 35 anggota sahaja yang berjaya lulus, dengan kadar kelulusan 18.27 peratus.

Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penuntut kerana telah berjaya mengharungi Kursus Asas Komando Siri AK/1/2025 hingga penghujungnya. Foto: AirTimes/N.Huda
Beliau berkata, kursus Asas Komando bukanlah kursus yang mudah untuk diharungi dan hanya yang layak akan mendapatkan beret hijau.
“Kursus Asas Komando adalah kursus yang paling ekstrim yang memerlukan ketahanan fizikal dan metal di tahap yang tertinggi,
“Setiap anggota perlu mengharungi pelbagai cabaran selama 12 minggu bagi menguji ketahanan dan keupayaan fizikal dan mental mereka”kata Panglima GGK.
Penuntut terbaik Kursus Asas Komando kali ini telah dianugerahkan kepada Leftenan Muda Muhammad Syukran Shafie, 24.
Anak jati Terengganu ini merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Penyelidikan Operasi dengan Sains Data dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Upacara penutupan kursus asas komando kali ini berjaya menarik perhatian orang ramai dengan adanya pelbagai aksi pertunjukan dan pameran yang diadakan bagi menjayakan upacara ini.-airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TenteraDarat #GGK #Komando #TDM #Malaysia