PASIR GUDANG, 13 Apr – Seramai 35 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dihantar ke Myanmar bagi menubuhkan sebuah hospital medan sebagai sebahagian daripada misi bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi yang melanda negara itu pada akhir Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi itu dilaksanakan susulan permohonan rasmi kerajaan Myanmar yang memohon bantuan perubatan daripada Malaysia bagi menangani kesan bencana berkenaan.
“Hospital medan ini akan memfokus kepada rawatan ortopedik dan trauma, termasuk pembedahan kecemasan bagi mengelakkan risiko kecacatan kekal dalam kalangan mangsa yang mengalami kecederaan serius seperti patah tulang,” katanya.
Menurut beliau, selain memberi rawatan, pasukan perubatan ATM juga akan melaksanakan latihan dan berkongsi kepakaran bersama petugas kesihatan tempatan bagi memperkukuh keupayaan sistem perubatan Myanmar.
Tambahnya, lokasi penempatan hospital medan akan ditentukan oleh kerajaan Myanmar, manakala tarikh penghantaran pasukan perubatan sedang dimuktamadkan.
“Pasukan kita sudah bersedia sepenuhnya dan kini hanya menunggu isyarat serta kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa Myanmar,” ujarnya.
Terdahulu, pada Sabtu, kerajaan bersetuju menghantar Hospital Medan ke Myanmar bagi meneruskan bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter yang menggegarkan negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara itu memerlukan bantuan kerana ramai rakyatnya cedera dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, keputusan tersebut telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan minggu lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hospital medan tersebut jelasnya, bakal dilengkapi lebih 30 komponen termasuk bilik pembedahan, mesin X-Ray serta kemudahan wad dengan kapasiti melebihi 30 katil.-airtimes.my
#pertahanan #ATM #hospitalmedan #Myanmar #Malaysia #airtimes