Home Pertahanan dan Keselamatan PLKN 3.0: Fokus ketenteraan dan kenegaraan, kos hanya RM2,000 seorang

PLKN 3.0: Fokus ketenteraan dan kenegaraan, kos hanya RM2,000 seorang

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Kerajaan hanya membelanjakan RM2,000 bagi setiap peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bermula Januari lalu, menjadikannya jauh lebih murah berbanding versi terdahulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kos bagi setiap pelatih dalam PLKN 1.0 adalah RM7,900 seorang, manakala PLKN 2.0 mencecah RM18,000 seorang.

Sebagai perbandingan, PLKN 3.0 hanya menelan kos RM2,000 seorang, sekali gus menunjukkan pengurangan perbelanjaan yang ketara.

Mohamed Khaled berkata, PLKN 3.0 bukan sahaja dilaksanakan di kem-kem Askar Wataniah (AW) di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi turut dijalankan di universiti-universiti dan politeknik tempatan dengan penyertaan lebih 100,000 peserta.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempersoalkan kos program tersebut.

Terdahulu, Mohamed Khaled memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menetapkan pelaksanaan PLKN 3.0 di seluruh negara, termasuk Sarawak.

Program ini dijangka berlangsung di negeri itu mulai tahun 2026 dan akan dilaksanakan di Kem Rejimen 511 AW.

Pada 12 Januari lalu, seramai 120 sukarelawan Malaysia telah mendaftar untuk menyertai PLKN 3.0 Siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

Daripada jumlah itu, 80 adalah peserta lelaki manakala 40 lagi wanita, berusia antara 18 hingga 25 tahun.

PLKN 3.0 akan berlangsung selama 45 hari dan bertujuan melahirkan generasi baharu yang bersemangat patriotik, mengamalkan nilai-nilai murni, serta memupuk semangat perpaduan dan kesukarelawan.

“Sepanjang program ini, pelatih akan diberikan pendedahan kepada latihan fizikal, mental dan sivik. Modul-modul latihan mengintegrasikan 70% Latihan Asas Ketenteraan dan 30% Komponen Kenegaraan,” menurut kenyataan MINDEF.-airtimes.my

#PLKN3 #Malaysia #ATM #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?