Home Pertahanan dan KeselamatanIkut arahan, kami hanya doa agar dapat kembali bertemu keluarga – Sarjan Nur Fasihah

Ikut arahan, kami hanya doa agar dapat kembali bertemu keluarga – Sarjan Nur Fasihah

by Nurulhuda
A+A-
Reset

“Kami hanya berdoa agar dapat kembali bertemu keluarga,” luah Sarjan Nur Fasihah Musa,35.

Sarjan Nur Fasihah berkata, walaupun pernah terdetik rasa takut dan gusar dengan situasi semasa, namun semangat untuk meneruskan misi serta memberi perkhidmatan kepada yang memerlukan tetap diteruskan.

Beliau merupakan salah seorang anggota perubatan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang baru sahaja menamatkan misi Pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan selama setahun.

“Apabila mendengar bunyi letupan dan serangan berdekatan, kami perlu mengikuti prosedur keselamatan dengan cepat. Apabila diberitahu mengenai tahap ancaman, seperti bunyi tahap 3, kami akan segera masuk ke dalam bunker sebagai langkah perlindungan,” jelasnya,

“Rasa takut itu ada sebab, kita tak pernah lalui perkara itu. Doa kami setiap hari agar kami selamat dan dapat balik jumpa keluarga,” jelasnya kepada Air Times.

Sarjan Nur Fasihah berkata, pengalaman berkhidmat di wilayah tersebut akan disimpan sebagai kenangan yang terindah. Foto: Airtimes/N.Huda

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penerimaan Kumpulan Pertama MALBATT 850-11, di Pangkalan Udara Subang pada Jumaat lalu.

Kumpulan pertama yang diketuai Komander Errudin Bujang TLDM ini telah selamat mendarat pada jam 10.10 pagi dengan menaiki pesawat BATIK Air.

Mengulas lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata ini turut meluahkan rasa bersyukur dan bangga apabila dapat berkhidmat dalam misi tersebut serta pengalaman bertugas di wilayah itu akan disimpan menjadi satu pengalaman yang berharga.

“Selama setahun di sana, kami merawat pesakit awam dan anggota MALBATT, mengikut kriteria yang diberikan oleh pegawai perubatan,

“Walaupun keadaan di sana agak tegang, kami terus menjalankan tugas kami,

“Sebenarnya pengalaman ini memang tak boleh hendak dibeli. Susah nak dapat, Syukur Alhamdulillah, saya dapat rasa benda ini dan saya akan simpan sebagai pengalaman,” ujarnya lagi.

Sarjan Nur Fasihah bersama suami LK PAP, Mohd Syaifullah Musa dan anak mereka Tuah Ariq Sufyan, 4. Foto: AirTimes/N.Huda

Sementara itu, suaminya Mohd Syaifullah Musa turut meluahkan perasaan syukur atas kepulangan isteri tercinta setelah setahun berjauhan.

“Rasa bersyukur sangat melihat dia kembali dalam keadaan selamat. Dengan keadaan yang di sana, kami risau. Alhamdulilah, hari ini dapat bertemu dengan isteri,

“Dalam masa setahun itu juga, pengalaman berjauhan amat mencabar. Sebelum ini, isteri banyak menguruskan anak, kini jadi tanggungjawab saya pula, tetapi kami tetap tabah mengharunginya,” jelasnya yang juga seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Kumpulan pertama MALBATT 850-11 yang diketuai Komander Errudin Bujang TLDM telah selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang jam 10.10 pagi pada Jumaat lalu. Foto: AirTimes/N.Huda

Kontinjen MALBATT 850-11 melibatkan seramai 82 pegawai dan 772 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) itu berlepas ke Lubnan pada 2 November 2023.

Kumpulan MALBATT 850-11 dijadual pulang ke tanah air secara berperingkat sejak 8 November lalu. -airtimes.my

#Airtimes #MALBATT #Pertahanan #Lubnan #ATM #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply