Home Pertahanan dan Keselamatan Isu kontrak Black Hawk: Ikmal Hisham desak Menteri Pertahanan betulkan fakta

Isu kontrak Black Hawk: Ikmal Hisham desak Menteri Pertahanan betulkan fakta

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, hari ini mendakwa bahawa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, telah mengelirukan Dewan Rakyat mengenai kontrak perbekalan helikopter Black Hawk.

Menurut Bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu, Mohamed Khaled membuat kenyataan tersebut ketika menggulung perbahasan peringkat dasar bagi bajet Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Khamis lalu.

“Boleh rujuk hansard Parlimen di mana YB Kota Tinggi menyebut bahawa kontrak perbekalan helikopter Black Hawk telah diiklankan pada 15 Julai hingga 11 Ogos 2022 dan dibentangkan dalam Lembaga Perolehan pada Oktober 2022,

“Justeru saya boleh menjawab sendiri soalan yang saya utarakan di Dewan Yang Mulia ini berkenaan anugerah kontrak sewaan helikopter Black Hawk kepada Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd,

“Sedangkan pada hakikatnya, kontrak sewaan helikopter Black Hawk ini dianugerahkan secara rasmi kepada Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. pada 23 Mei 2023,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Speker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mempengerusikan mesyuarat tersebut mencadangkan agar Ikmal Hisham menulis perkara tersebut kepada beliau untuk dipertimbangkan dan dibuat keputusan.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Pertahanan itu menegaskan, niatnya adalah untuk membetulkan fakta, bukan untuk membawa isu ini ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya tiada niat hendak bawa kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Saya cuma hanya hendak membetulkan fakta,

“Saya mahu YB Kota Tinggi (Mohamed Khaled Nordin) mengakui kesilapan, itu sahaja,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, Ikmal Hisham mempersoalkan berkenaan rasional keputusan MINDEF memilih Syarikat Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd. bagi kontrak sewaan 4 buah helikopter jenis Black Hawk bernilai RM187 juta untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kesukaran perolehan 4 buah helikopter jenis UH-60 (Black Hawk) untuk Malaysia, berbanding 32 buah yang lebih mudah diperolehi kerajaan Filipina.-airtimes.my

#airtimes #KhaledNordin #IkmalHisham #pertahanan #Mindef #BlackHawk

Leave a Reply