JAKARTA, 8 Ogos – Malaysia dan Indonesia komited mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama pertahanan kedua-dua negara.
Perkara itu dizahirkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan semasa mengadakan kunjungan hormat sempena lawatan kerja ke atas Ketua Staf Angkatan Darat Indonesia Jeneral Maruli Simanjuntak di Markas Besar Angkatan Darat pada Selasa.
Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, hubungan bilateral antara TDM dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) telah terjalin sejak tahun 1958 dan terus diperkukuhkan melalui pelbagai inisiatif kerjasama antara kedua-dua negara.
“Hubungan yang akrab dan erat ini adalah penting bagi memastikan keselamatan dan kestabilan serantau terpelihara,” jelas TDM dalam hantaran di laman media sosialnya.
Sementara itu, TNI-AD dalam satu hantaran memaklumkan, mesyuarat tersebut membincangkan pelbagai inisiatif kerjasama yang telah dan akan dilaksanakan antara TDM dan TNI AD.
Menurut TNI-AD, pertemuan itu menekankan topik perbincangan mengenai latihan bersama, meningkatkan profesionalisme dalam melaksanakan tugas dan keselamatan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
“Lawatan tersebut merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama ketenteraan antara Indonesia dan Malaysia,
“Kedua-dua negara telah mewujudkan perkongsian rapat, terutamanya dalam bidang pertahanan dan keselamatan serantau,” jelas TNI-AD.
Sesi kunjungan hormat itu melibatkan upacara Kawalan Kehormatan Utama, perbincangan dengan pegawai-pegawai tertinggi TNI AD, sesi menandatangani buku lawatan dan diakhiri dengan pertukaran cenderahati.
Muhammad Hafizuddeain dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Tangerang, Banten pada Isnin. -airtimes.my
#TDM #Malaysia #Indonesia #TNIAD #kerjasama #pertahanan #airtimes
